PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM5.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, berbanding RM1.6 bilion tahun sebelumnya, prestasi yang kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global.
Prestasi lebih baik didorong oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi dari syarikat pelaburannya, keuntungan nilai saksama, dan pemeliharaan modal.
Justeru, Khazanah membayar dividen sebanyak RM1 bilion untuk 2023 kepada Kerajaan Malaysia, berbanding RM500 juta pada 2022 dengan dividen terkumpul sebanyak RM18.1 bilion sejak 2004.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada 2023, dengan keuntungan yang melebihi tiga kali ganda berbanding 2022.
Katanya, komitmennya tetap utuh dan Khazanah terus memanfaatkan usaha penciptaan nilai dan pendekatan pengimbangan semula portfolio untuk mengukuhkan penyata imbangan dan membina kedudukan kewangan yang berdaya tahan.
“Walaupun 2024 dijangka menjadi satu lagi tahun yang mencabar di peringkat global dengan ketidaktentuan politik yang memuncak, ‘Memajukan Malaysia’ akan kekal sebagai tema utama kami.
“Ini untuk mengemudi strategi dan tindakan ke arah menyampaikan pembangunan negara dan memastikan masa depan yang mampan untuk Malaysia,” katanya pada taklimat media Tinjauan Tahunan Khazanah (KAR) 2024, di sini hari ini. – UTUSAN










