Harga MSM dijangka merosot antara RM3,800 dan RM4,000 April

Harga MSM dijangka merosot antara RM3,800 dan RM4,000 April ini

sawit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka merosot di antara RM3,800 hingga RM4,000 setiap tan pada April berikutan peningkatan bekalan kacang soya dari Amerika Selatan serta pengeluaran minyak sawit negara yang beransur-ansur pulih.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), harga minyak sawit didagangkan pada premium AS$40 hingga AS$95 setiap tan mendahului minyak lembut pada Mac. 

“Oleh itu, pemulihan harga minyak lembut dijangka berlaku pada April untuk mengecilkan jurang harga,” katanya dalam kenyataan.

Harga MSM telah melonjak ke paras tertinggi dalam 12 bulan pada 15 Mac lalu, iaitu hampir 10 peratus melebihi harga penutup Februari.

MPOC berkata, trend harga kukuh yang diperhatikan pada suku pertama 2024 sebahagian besarnya dibentuk oleh dinamik pertumbuhan bekalan defisit.

“Memandangkan musim rendah pengeluaran minyak sawit berakhir pada Mac, harga minyak sawit mungkin mula mencerminkan pemulihan dalam tahap pengeluaran dan inventori pada April dan Mei, yang berpotensi mengehadkan harga minyak sawit,” jelasnya.

Selain itu, premium harga minyak sawit berbanding minyak lembut terus meningkat pada Mac dan telah melepasi harga tiga minyak lembut utama secara serentak sejak Februari di pasaran Eropah.

MPOC melaporkan stok minyak sawit Malaysia meneruskan aliran menurun pada Februari 2024, turun 5.0 peratus kepada 1.919 juta tan, menandakan paras terendah stok yang didaftarkan sejak Julai 2023.

Pengurangan dalam inventori minyak sawit pada Februari didorong terutamanya oleh pengurangan import dan penggunaan domestik yang teguh.

Dalam dua bulan pertama 2024, import minyak sawit Malaysia mengalami penurunan 70 peratus tahun ke tahun, menjunam kepada 0.062 juta tan.

“Jumlah ini menyumbang hanya 6.9 peratus daripada jumlah import pada 2023. Dari segi sejarah, inventori minyak sawit Malaysia sangat bergantung kepada import untuk pengumpulan. 

“Oleh itu, pemantauan rapi angka import selepas ini adalah penting untuk mengukur paras stok minyak sawit di Malaysia,” katanya.

MPOC berkata, satu lagi faktor penting yang menyumbang kepada penurunan dalam stok ialah penggunaan domestik yang kukuh.

“Penggunaan domestik minyak sawit Malaysia pada Januari dan Februari 2024 meningkat 11.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Stok minyak sawit Malaysia tidak mungkin mengalami sebarang pertumbuhan pada Mac berikutan penggunaan domestik yang kukuh, terutamanya pada bulan Ramadan. Selain itu, pengeluaran dijangka tidak meningkat sehingga April dan seterusnya,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×