KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sudah mencapai kemajuan pembinaan sehingga 62 peratus setakat Februari 2024 dijangka menyumbang 3.8 peratus kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2047.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ECRL yang dijangka siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027 itu bersedia untuk meningkatkan tahap ekonomi Malaysia.
Katanya, pembangunan itu akan menghubungkan negara lebih rapat dengan rangkaian kereta api Pan-Asia dan meningkatkan perhubungan dengan wilayah ASEAN dan EURASIA.
“Menjangkau 665 kilometer dan menghubungkan pantai timur dan barat negara, ECRL mewakili penyepaduan penting Malaysia ke dalam rangkaian perdagangan dan budaya yang lebih luas pertukaran.
“Projek ECRL bernilai hampir RM75 bilion, adalah lebih daripada hanya sebuah rangkaian kereta api yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Ia adalah asas untuk pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada seminar mengenai peluang pelaburan dan perniagaan projek pemecut ekonomi (EAP) – ECRL di sini, semalam.
Sementara itu, ECRL-EAP ditetapkan untuk meningkatkan landskap ekonomi dan ketersambungan Malaysia.
“Kami juga melihat potensi besar untuk syariat berikatan pelaburan kerajaan (GLIC), sektor swasta untuk mengambil bahagian secara aktif melabur dalam projek bersama koridor ECRL,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan ECRL akan memberi manfaat kepada komuniti yang tinggal di Kelantan, Terengganu, Pahang sekali gus bagi memastikan pengurangan jurang ekonomi diantara negeri.
“Oleh itu, MIDA bersama Plan Malaysia berbincang dengan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) serta pihak universiti membuat perancangan bagaimana industri dapat memainkan peranan melalui pembangunan berorientasikan transit (TOD).
“Namun, ia perlu bermula sekarang dengan lebih teliti dan memberikan masa kepada pihak industri juga,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut mengulas lanjut mengenai penutupan kilang Goodyear dimana pihaknya akan memberi keutamaan kepada nasib pekerja yang terjejas.
“Goodyear pun telah memberi jaminan akan memberi pampasan kepada semua pekerja yang terkesan dan ditetapkan bawah undang-undang.
“Malah, syarikat juga telah memaklumkan pada kita (MITI) yang mereka sedang bekerjasama dengan syarikat lain seperti Proton untuk mencari pekerjaan yang sesuai,” katanya.-UTUSAN










