Wentel Engineering tampil di Pasaran ACE 

Wentel Engineering tampil di Pasaran ACE 

PENGERUSI Wentel, Ban Kim Wah (lima, kiri) memukul gong menandakan penyenaraian Wentel Engineering Holdings Berhad ke pasaran ACE Bursa Malaysia di Bangunan Bursa Malaysia Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wentel Engineering Holdings Bhd. (Wentel) membuat penampilan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan tawaran permulaan awam (IPO) pada RM0.26 sen sesaham berjumlah 19.70 juta saham.

Pengarah Eksekutif Wentel, Freddy Wong berkata, Kumpulan berjaya mengumpulkan jumlah keseluruhan RM71.0 juta melalui penawaran 273,200,000 saham biasa baharu pada harga RM0.26 sesaham.

“Nisbah pendapatan harga ialah 14.61 kali berdasarkan keuntungan bersih sebanyak RM20.48 juta dan pendapatan sesaham sebanyak 1.78 sen pada tahun kewangan 2022,” katanya selepas Majlis Pelancaran Wentel di Bursa Malaysia, semalam.

Menurut Freddy, sebanyak RM40 juta hasil IPO akan digunakan untuk pembinaan kilang pembuatannya di Kawasan Perindustrian Selatan, Johor Bahru; RM25.03 juta lagi disalurkan bagi pembiayaan mesin dan peralatan baharu serta RM6 juta diperuntukkan untuk  perbelanjaan penyenaraian.

“Pembinaan kilang itu adalah dua blok kilang satu tingkat dengan pejabat dua tingkat dan dua blok asrama pekerja.,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wentel, Chuah Chong Syn berkata, kilang pembuatan baharu itu dijangka bersaiz kira-kira 254,381 kaki persegi untuk operasi dan penginapan pekerja.

Chuah berkata, kilang baharu itu akan mula beroperasi pada separuh kedua 2025 dan akan mempunyai kemudahan baharu dengan peralatan teknologi lebih canggih.

“Fokus kami untuk menubuhkan kilang pembuatan baharu serta membeli mesin dan peralatan baharu bagi mengambil peluang di Malaysia dan Singapura yang menyasarkan pelanggan sedia ada dan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kumpulan juga mempunyai pelanggan di Amerika Syarikat, di mana Wentel Engineering terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pasaran utama di Malaysia dan Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×