PETALING JAYA: Malaysia dan China mengambil langkah kanan menghadapi isu neutraliti karbon dengan penandatanganan siri memorandum perjanjian (MOA) dan memorandum persefahaman (MOU) membabitkan pihak tempatan dan antarabangsa melalui Guoann Dot Com Berhad dan menarik RM14 billion nilai pelaburan.
Guoann Dot Com dalam kenyataan berkata, pembangunan stesen janakuasa tenaga bersih dan boleh diperbaharui berkapasiti tinggi itu menjadi usaha bersama oleh Guoann Dot Com Berhad, China Power International Development dan China Smart Energy Industry Alliance.
Syarikat berkata, kerjasama turut disertai oleh Universiti Malaya (UM) dan Architectural Design & Research Institute of Tsinghua University Co. Ltd.
Majlis itu juga merupakan satu perkembangan hasil daripada inisiatif Belt and Road.
Tambahnya, dua perjanjian itu satu kolaborasi bersejarah di antara Malaysia dan China dalam bidang sumber tenaga bersih dan neutraliti karbon.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Guoann Dot Berhad, Teo Kok Ann berkata, terdapat beberapa pihak dari negeri berbeza di Malaysia yang menunjukkan minat untuk projek tersebut.
“Kami akan merancang untuk memuktamadkan lokasi dalam bulan akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Syarikat China Smart Energy Industry Alliance, Shi Chun berkata, projek stesen janakuasa tenaga boleh diperbaharui dan pembinaan taman sifar karbon akan menarik pelaburan hampir RM14 billion dari China.
“Pada masa ini kami membawa kira-kira 20 bilion RMB (RM14 billion) ke Malaysia sebagai permulaan projek ini,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kebolehlaksanaan piawaian neutral karbon di Malaysia, wakil UM, Pengarah Eksekutif HICoE UM Power Energy Dedicated Advanced Advanced Centre (UMPEDAC), Profesor Ir. Dr Nasrudin Abd Rahim berkata, kebolehlaksanaan akan bergantung kepada proses pembangunan penyelidikan (R&D) yang dilakukan.
“Bagaimanapun, kami berhasrat menjadikan UM sebagai kampus pintar yang akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan penyelesaian masalah karbon,” katanya.-UTUSAN










