Sunway Property sasar pertumbuhan jualan RM2.6 bilion

Sunway Property sasar pertumbuhan jualan RM2.6 bilion

BAKAL pembeli perlu membuat semakan supaya tidak ditipu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Property menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak RM2.6 bilion pada tahun ini.

Sasaran itu berikutan prestasi positif sepanjang tahun lalu dengan Sunway Property mencatatkan jualan keseluruhan bernilai RM2.4 bilion di seluruh negara dan antarabangsa, sekali gus melebihi sasaran jualan sebanyak RM2.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Dalam kenyataan, Sunway Property berkata, Syarikat berjaya mencatatkan hasil belum dibil hampir RM4.1 bilion dan pelancaran bernilai RM4.4 bilion.

Jelasnya, dengan baki pegangan tanah seluas 2,467 ekar setakat 31 Disember 2023 dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM52.9 bilion, Syarikat berada pada kedudukan terbaik untuk meneruskan trajektori pertumbuhan.

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian pada 2023, terutama apabila melebihi sasaran jualan ditetapkan.

“Walaupun ketidaktentuan ekonomi, kami tetap optimis terhadap daya tahan pasaran hartanah, terutama dengan potensi pertumbuhan yang kukuh di Johor berdasarkan perancangan seperti Laluan RTS Johor Bahru-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

“Tahun ini, kami juga bakal memperkenalkan empat produk utama baharu merentasi semua wilayah di Malaysia. Terdapat juga tawaran menarik kempen tahunan ‘signature series’ dan yakin dapat meletakkan kami pada kedudukan yang baik serta mencapai matlamat pada 2024,” katanya.

Kata beliau, di Lembah Klang, Sunway Property akan melancarkan Sunway Velocity 3, fasa seterusnya pembangunan kediaman di Kuala Lumpur.

Terletak di tengah-tengah perbandaran Sunway Velocity, pembangunan itu akan mendapat manfaat daripada komponen bersepadu penjagaan kesihatan, pendidikan, runcit dan hospitaliti, selain sambungan kepada kemudahan pengangkutan awam.

Sunway Property turut memperkenalkan rumah teres dua tingkat di Sunway Aviana, terletak di Sunway City Iskandar Puteri, Johor, yang juga perbandaran bersepadu terbesarnya.

Syarikat juga akan melancarkan Sunway Bayu, merangkumi rumah teres-fleksi terletak di Sunway City Ipoh, tidak jauh dari Pusat Perubatan Sunway Ipoh yang akan siap tahun ini, selain Sunway Ipoh Mall  dengan keluasan lantai kasar 1.5 juta kaki persegi dijangka siap pada 2024.

Selain itu, di Pulau Pinang, pemaju hartanah itu akan melancarkan Sunway Wellesley, pembangunan kediaman tanah berpagar terletak di Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, menerusi kempen tahunan, ‘Signature Series’ akan diadakan buat tahun ketiga berturut-turut, bermula 18 Mac hingga 30 Jun 2024.

Kempen itu akan menampilkan tawaran menarik dan hadiah cabutan bertuah termasuk kereta Tesla Model Y bernilai RM199,999, baucar pelancongan bernilai RM20,000 dan banyak lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×