PETALING JAYA: Sime Darby Berhad melaporkan untung bersih sebanyak RM2.3 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (S2 TK2024), didorong oleh keuntungan RM2.0 bilion daripada pelupusan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) pada Disember 2023.
Hasil Kumpulan bagi suku berkenaan meningkat 37.7 peatus kepada RM15.5 bilion daripada RM11.3 bilion pada suku sama tahun kewangan 2022 (S2 TK2022).
Untung bersih teras bagi suku tahun dilaporkan, tidak merangkumi keuntungan atas pelupusan, adalah sebanyak RM269 juta, kenaikan sebanyak 7.2 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Untuk tempoh enam bulan pertama TK2024, Kumpulan mencatatkan untung bersih lebih tinggi berjumlah RM2.9 bilion. Kumpulan mengumumkan dividen interim sebanyak 3 sen sesaham bagi separuh pertama TK2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Kumpulan mengalami suku kedua yang sangat produktif.
Katanya, Kumpulan mengumumkan penyempurnaan jualan RSDH dan keluar sepenuhnya daripada perniagaan penjagaan kesihatan dan ia membolehkan Kumpulan memberi tumpuan penuh kepada dua perniagaan terasnya iaitu perindustrian dan automotif.
“Kami juga telah menyempurnakan pemerolehan UMW. Kami sangat teruja kerana menerusi pemerolehan ini, kami akan menambah dua jenama pasaran umum yang terkemuka, Toyota dan Perodua, ke dalam portfolio kami. Ini akan membantu Kumpulan meluaskan pendapatan dan menjana lebih banyak nilai.
“Kami sedang berusaha untuk memastikan kelancaran penyepaduan UMW ke dalam keluarga Sime Darby,” katanya dalam kenyataan.
Pada suku dilaporkan, bahagian Perindustrian mencatatkan kenaikan sebanyak 56.7 peratus bagi untung sebelum faedah dan cukai (PBIT) kepada RM351 juta, dipacu terutamanya oleh operasi di Australasia, yang mencatatkan kenaikan untung hasil daripada khidmat sokongan produk yang lebih tinggi serta hasil penjualan peralatan baharu.
Prestasi ini jugak disokong oleh sumbangan untung daripada syarikat-syarikat baharu yang diperolehi Kumpulan iaitu Onsite Rental Group (Onsite) dan Cavpower Group (Cavpower).
Secara keseluruhan, PBIT bagi bahagian Automotif meningkat sebanyak 27.2 peratus kepada RM192 juta, dipacu oleh operasi Malaysia yang mencatatkan lonjakan dalam PBIT sebanyak 84.3 peratus kepada RM129 juta daripada RM70 juta.
Sementara itu, PBIT bagi operasi Singapura meningkat sebanyak 87.5 peratus, disokong oleh peningkatan permintaan bagi kenderaan elektrik.
Prestasi kukuh operasi Malaysia dan Singapura membantu menampung kesan margin kenderaan yang rendah dari operasi bahagian di Tanah Besar China.
“Secara keseluruhan, perniagaan kami mencatatkan prestasi yang mantap. Bagi bahagian Perindustrian, kami menyaksikan pulangan yang memberansangkan daripada pemerolehan Onsite dan Cavpower baru-baru ini, yang menyumbang kepada pertumbuhan bahagian pada suku tahun yang dilaporkan.
“Kami yakin bahawa peningkatan untung daripada operasi Australasia akan memperkukuhkan lagi perniagaan Perindustrian dan terus memberikan sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan,” kata Jeffri. – UTUSAN










