Sentoria dapat kelulusan KPKT teruskan projek tertunda

Sentoria dapat kelulusan KPKT teruskan projek tertunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Sentoria Berhad (Sentoria) telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meneruskan projek perumahan tertunda di Morib.

Sentoria berkata, Kumpulan telah diberikan pelepasan sementara daripada senarai pembangunan perumahan tertunda (kategori projek sakit).

Katanya, notis itu dilihat tepat pada masanya selari dengan proses pemulihan korporat Kumpulan yang menyaksikan pelantikan pengurusan kanan baharu, di samping penstrukturan semula lembaga pengarah bagi memacu Kumpulan ke hadapan.

“Dengan kelulusan KPKT ini projek Orkid, sebuah projek pembangunan rumah teres di Teluk Morib, Selangor, akan dapat dipercepatkan.

“Projek ini merangkumi 148 unit rumah teres satu tingkat, di mana 126 unit sudah terjual, dijangka akan dapat disiapkan menjelang Jun 2024, lengkap dengan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

“Selain itu, dua lagi projek di Teluk Morib iaitu projek Seroja dan Mawar, yang telah habis dijual, dijangka siap pada suku pertama 2024. Jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) bagi ketiga-tiga projek ini dijangka mencecah RM80 juta,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sentoria, Datuk Loh Yuen Tuck mengalu-alukan kelulusan tersebut dengan berkata, pelepasan berkenaan menjadi titik tolak penting di mana Kumpulan kini diberikan sokongan yang amat diperlukan untuk menyelesaikan projek pembangunan kritikal di Morib, yang tentunya memanfaatkan pelanggan.

Menurut Loh, dedikasi untuk menyiapkan projek adalah utuh sekaligus membuktikan komitmen Kumpulan kepada pelanggan, khususnya dalam rangka inisiatif Rumah Selangorku.

“Buat semua warga Selangor, Sentoria berikrar untuk memastikan rumah yang anda dambakan bakal menjadi milik anda tidak lama lagi.

“Justeru, sokongan daripada KPKT bukan sahaja mempercepatkan penyiapan projek sedia ada tetapi juga membuka laluan untuk Sentoria menyambung semula pembangunan projek yang telah tertangguh sebelum ini,” katanya.

Mengenai perkembangan pemulihan korporat Sentoria, Loh mengesahkan Kumpulan telah berjaya menyerahkan cadangan kepada Bursa Malaysia mengandungi dua inisiatif saling terkait iaitu Penyatuan Saham dan Bon Boleh Tukar Boleh Tebus (RCB).

“Cadangan ini bertujuan untuk mempamerkan komitmen Sentoria dalam menstruktur semula modal dan meningkatkan kecairan di pasaran saham. Hal ini lantas akan memberi isyarat positif kepada pasaran, sekaligus membuktikan keupayaan Sentoria untuk memuktamadkan pembangunan projek sedia ada serta menjamin pembiayaan projek akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN