Semarak Renewable Energy peroleh pakej pembiayaan RM1.88b

Semarak Renewable Energy peroleh pakej pembiayaan RM1.88 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semarak Renewable Energy Sdn. Bhd. (SeRenE) berjaya memperoleh pakej pembiayaan sebanyak RM1.88 bilion (AS$400 juta) untuk projek hidrogen hijau (mesra alam) yang inovatif di Perak.

Pembiayaan itu ditandatangani di Singapura semalam dan diatur oleh firma modal teroka, Capitale Ventures dengan Chalfouh LLC bertindak sebagai penasihat, akan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar hidrogen hijau utama menggunakan teknologi fotovoltaik terapung.

Pada majlis memeterai pembiayaan tersebut, SeRenE diwakili Pengarah Urusannya, Mohammad Shahil Ishak manakala Capitale Venture diwakili Pengasas Bersamanya, Willy Lim.

Mohammad Shahil berkata, projek yang pertama seumpamanya di negara ini, telah menarik minat para pelabur asing yang mengakui potensi besar hidrogen dalam membentuk masa depan tenaga.

Berikutan tindakan pengeluar kereta Jepun terkenal seperti Toyota dan Honda melabur secara besar-besaran dalam teknologi hidrogen untuk kenderaan, beliau menjangkakan berlaku impak transformasi yang sama dalam
pelbagai sektor lain, termasuk perkapalan.

“Projek hidrogen hijau bukan sahaja berdaya maju tetapi juga berpotensi memberikan pulangan, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian mampan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, projek SeRenE di Perak melibatkan pembangunan pengeluaran tenaga hijau menggunakan teknologi generasi kuasa fotovoltaik terapung, penyimpanan dan pengangkutan hidrogen yang menjanjikan perubahan signifikan ke arah amalan tenaga lestari.

Katanya, hidrogen hijau menawarkan bekalan tenaga bersih yang berbeza dengan sumber hidrogen konvensional seperti ‘hidrogen kelabu’ daripada bahan bakar fosil atau ‘hidrogen biru’ dari gas asli, sekali gus
menjadi sebagai alternatif yang lebih baik.

“Hidrogen hijau menawarkan bekalan tenaga bersih yang berbeza dengan sumber hidrogen konvensional seperti ‘hidrogen kelabu’ daripada bahan bakar fosil atau ‘hidrogen biru’ dari gas asli, sekali gus menjadi sebagai alternatif yang lebih baik.

“Sekiranya lebih banyak projek seumpama ini dilaksanakan, Malaysia mampu menjuarai industri tenaga hijau global, dan mampu menarik bukan sahaja sokongan kewangan tetapi juga mereka yang prihatin terhadap alam sekitar di
seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN