Sektor peranti perubatan diunjur sumbang RM20 bilion tahun ini

Sektor peranti perubatan diunjur sumbang RM20 bilion tahun ini – MDA

DR. Dzulkefly Ahmad melancarkan Pra Pelancaran Persidangan Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia (Asia MedTec 2024) di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sektor peranti perubatan negara dijangka menyumbang sekitar RM20 bilion kepada ekonomi negara tahun ini disokong pelaburan langsung asing dan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr. Muralitharan Paramasua berkata, unjuran itu turut disokong pelaburan langsung asing oleh beberapa buah negara termasuk dari Republik Czech dan China.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan dua negara itu telah menyatakan hasrat untuk melabur dalam sektor berkenaan.

“Tahun ini kita dapati ada beberapa negara luar yang berhasrat melabur dan memulakan operasi di Malaysia selain pengukuhan operasi dan pelaburan oleh syarikat pelabur sedia ada.

“Justeru, kita menjangkakan ia boleh mencecah sehingga RM20 bilion tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pra Pelancaran Persidangan dan Pameran Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia (Asian Medtec 2024) di sini, hari ini.

Majlis pra pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Asian Medtec 2024 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 hingga 12 Disember depan, dijang menarik penyertaan lebih 250 syarikat dengan 10,000 pengunjung dari 25 negara.

Dr. Muralitharan berkata, pihaknya juga menjangkakan Malaysia berupaya meraih antara 10 hingga 15 peratus daripada nilai pasaran teknologi dan perati perubatan di peringkat global dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Ketika ini, nilai pasaran Malaysia berada pada sekitar 8 hingga 10 peratus dan ia mampu ditingkatkan sehingga 15 peratus dalam beberapa tahun akan datang.

Terdahulu, Dr Dzulkelfy dalam ucapannya berkata, ketika ini, sektor peranti perubatan menyumbang sebanyak RM15.1 bilion kepada ekonomi negara tahun lalu selain mencipta lebih 80,000 peluang pekerjaan sejak 2010.

Katanya, peranti perubatan diisytiharkan sebagai antara sektor penting dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Ini adalah kali pertama buat sektor ini diiktiraf di peringkat nasional sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN