FIRMA penyelidikan PublicInvest Research kekal positif terhadap sektor penjagaan kesihatan di negara ini dalam jangka sederhana, disokong oleh trend peningkatan populasi yang semakin tua.
Selain itu, ia turut disokong oleh pertumbuhan dalam pelancongan perubatan dan peningkatan keseluruhan dalam permintaan untuk perkhidmatan perubatan.
Untuk itu, firma berkenaan telah mengekalkan penarafan “overweight” untuk sektor berkenaan.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pengenalan Kertas Putih Kesihatan yang memerlukan potensi kerjasama melalui perkongsian awam-swasta akan mengurangkan kesesakan dalam sektor kesihatan awam, namun ia meramalkan cabaran semasa fasa pelaksanaan.
“Namun, kami percaya ia tidak mungkin menjejaskan sektor penjagaan swasta dalam tempoh terdekat.
“Oleh itu, kami kekal (dengan penarafan) “overweight” dalam sektor penjagaan kesihatan, dan mengulangi penarafan “outperfom” terhadap KPJ Healthcare Bhd. dan IHH Healthcare Bhd.
“Ia memandangkan peningkatan jumlah pesakit dan kadar penghunian katil. (Kami turut) mengekalkan penarafan ‘neutral’ untuk Apex Healthcare Bhd. berikutan permintaan yang perlahan untuk produk terasnya berkaitan penyakit pernafasan,” kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan.
Melangkah ke hadapan, PublicInvest berkata, prospek jangka sederhana bagi sektor penjagaan kesihatan Malaysia kekal utuh, disokong oleh peningkatan permintaan untuk perkhidmatan perubatan berikutan populasi yang semakin tua.
Selain itu, katanya, pemberian sehingga 30 hari kemasukan tanpa visa kepada warganegara China dan India seharusnya menjadi petanda baik bagi Program Hospital Pelancongan Perubatan.
“Selain itu, peningkatan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja akan membawa kepada permintaan yang lebih besar untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, termasuk farmakoterapi, pembedahan bariatrik, penjagaan pencegahan, diagnostik dan rawatan lain,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, bergerak ke separuh pertama 2024, jangkaan peningkatan bilangan pesakit dalam dan luar dijangka membawa kepada kadar penghunian katil yang lebih tinggi.
“Pilihan utama kami ialah KPJ, bergantung pada pertumbuhan dalam jumlah pesakit dan kadar penghunian katil.
“Kami menyukai usahanya dalam mengenal pasti dan mengoptimumkan aset berprestasi rendah, ditambah dengan penambahbaikan dalam operasi dan proses perniagaan rutin.
“Selain itu, KPJ juga menyasarkan meningkatkan budaya rujukan silang dalam kemudahannya untuk memastikan pesakit menerima pengalaman optimum dan hasil klinikal,” kata firma itu.-UTUSAN










