Ringgit: DPMM mahu tahu apa rancangan kerajaan

Ringgit: DPMM mahu tahu apa rancangan kerajaan

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami sedang menunggu apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan (untuk membendung kejatuhan ringgit) selepas pengumuman Gabenor BNM.”

Demikian ditegaskan oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon yang mahu kerajaan mengambil langkah drastik untuk membendung kejatuhan mata wang negara itu.

“Kami mahu tahu apa rancangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada kami (peniaga) yang terkesan (dengan kejatuhan ringgit),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan ahli-ahli DPMM agar sentiasa peka dan berhati-hati dengan keadaan ekonomi semasa.

“Sekiranya hendak menjalankan aktiviti import, perlu bersedia dengan keadaan semasa. Jika boleh, semak sebarang pembelian di luar negara,” katanya.

Semalam, ringgit mengakhiri dagangan tinggi sedikit berban­ding sebelah pagi untuk ditutup pada 4.7975/4.8020 berbanding dolar AS daripada 4.7975/7900 kelmarin. Ringgit bagaimanapun kekal rendah berbanding dolar Singapura untuk ditutup pada 3.5692/5725 berbanding 3.5649/5570 kelmarin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Malaysia, Willian Ng berkata, BNM perlu mengambil tindakan untuk mengatasi kejatuhan berterusan ringgit, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Dalam ulasan mengenai kejatuhan ringgit kelmarin, Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour menjelaskan, paras ringgit baru-baru ini tidak mencerminkan ‘prospek positif’ ekonomi Malaysia di masa akan datang.

Beliau menjelaskan, penurunan ringgit baru-baru ini sama seperti mata wang serantau lain yang telah dipengaruhi faktor-faktor luaran.

Antara faktor itu termasuk pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang berubah-ubah, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.

Willian berkata, kenyataan BNM itu tidak cukup dan ia tidak dapat mengatasi kejatuhan berterusan ringgit, yang perlu kepada tindakan proaktif.

Dalam konteks itu, beliau menggesa BNM mewajibkan pengekspot terutamanya syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menukar simpanan mereka dalam mata wang asing kepada ringgit.

“Langkah lebih agresif itu bertujuan menghentikan kejatuhan ringgit dengan mening­katkan permintaan di pasaran dalam negara dan menyokong lindung nilai ringgit,” katanya.

Tambah William, kejatuhan ringgit memberi tekanan kepada Perusahaan Mikro, kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan terutama mereka yang terlibat dalam import bahan mentah.

“Kejatuhan ringgit menyebabkan kenaikan kos input dan peniaga pula tidak boleh menaikkan harga barangan sesuka hati,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pe­laburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, MITI menyerahkan kepada BNM sama ada untuk mewajibkan pengeksport menukar hasil yang dijana daripada eksport kepada ringgit.

Ini kerana, menurut Tengku Zafrul, perkara berkenaan terletak di bawah tanggungjawab BNM dan bukannya kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×