PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan ringgit akan kekal pada julat RM4.79 hingga RM4.82 dalam tempoh jangka pendek minggu ini.
Ia berikutan tiada penunjuk arah yang jelas dalam pasaran mata wang akan hala tuju disebabkan menunggu pengumuman data semasa ekonomi minggu daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada Mac.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, angka penting seperti jualan rumah baharu, barangan keperluan serta indeks harga pengguna AS akan memberikan
petunjuk ekonomi negara itu masih terus berkembang atau telah menurun.
“Hal ini kerana, ia bakal mempengaruhi kadar inflasi AS sama ada meningkat atau kembali menurun.
“Pasaran kewangan dunia begitu dipengaruhi oleh tindakan Fed yang mengekalkan kadar faedah 5.25 hingga 5.5 peratus lebih lama daripada jangkaan berikutan kadar inflasi AS yang masih tinggi dari sasaran awal iaitu 2 peratus,” katanya.
Aimi Zulhazmi turut meramalkan, Bursa bakal menyaksikan technical correction dan aktiviti pengambilan untung setelah indek menunjukkan kenaikan minggu lalu seiring dengan lonjakan positif pasaran ekuiti dunia yang lain.
“Selain itu, kelemahan ringgit juga boleh mendorong pengurus dana asing menjual portfolio mereka untuk mengambil keuntungan bagi mengelakkan kerugian pertukaran wang asing apabila ringgit terus melemah.
“Namun begitu, pengurus dana tempatan dan luar negara dijangka mengambil langkah berhati-hati minggu depan disebabkan pelbagai faktor global yang mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menjangkakan ringgit pada kadar RM4.81 berikutan masih belum ada sebarang tanda pulih berbanding dolar AS.
“Hal ini kerana, pelabur tertarik dengan kadar yang lebih tinggi di negara asing dan menyebabkan mereka menarik keluar pelaburan dari Malaysia sehingga mendorong ringgit menurun,” katanya.
Malah, beliau turut menjangkakan keadaan bursa minggu hadapan dalam situasi tidak menentu.
Katanya, ia disebabkan keadaan pasaran dunia tidak menentu walaupun keadaan di Eropah dilihat ada peningkatan.
“Keadaan ekonomi negara besar seperti China dan AS juga masih belum memberangsangkan,” katanya. – UTUSAN










