Ringgit cecah 4.76 berbanding dolar

Ringgit cecah 4.76 berbanding dolar, paras terendah lebih tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit meneruskan trend menurun dana mencapai paras terendah dalam tempoh lebih tiga bulan apabila berada pada 4.7620 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi dagangan 12 tengah hari ini.

Ringgit mencecah paras terendah 4.7900 pada 24 Oktober 2023. Dalam tempoh enam bulan, ringgit dilaporkan menambah nilai 4.54 peratus berbanding dolar AS.

Prestasi itu menyaksikan ringgit meneruskan momentum negatif selepas dibuka lemah dalam dagangan awal pagi berbanding dolar yang lebih kukuh hari ini.

Menurut penganalisis, pengukuman dolar didorong oleh laporan sektor pekerjaan negara ini minggu lalu dan isyarat ‘hawkish’ daripada Rizab Persekutuan AS.

Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.01 pagi, ringgit jatuh kepada 4.7570/7620 berbanding dolar AS daripada 4.7460/7520 pada penutup semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS kekal pada kedudukan yang lebih kukuh berikutan data senarai gaji bukan pertanian (NFP) yang dikeluarkan minggu lepas lebih tinggi daripada jangkaan.

Indeks dolar AS (DXY) dilaporkan meningkat 0.53 peratus semalaman kepada 104.452 mata.

“Tumpuan hari ini adalah pada mesyuarat dasar monetari Reserve Bank of Australia (RBA) di mana kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan kadar faedah penanda aras akan kekal stabil pada 4.35 peratus.

“Terdapat perbincangan bahawa RBA mungkin mengurangkan kadar faedahnya pada tahun ini memandangkan penyederhanaan kadar inflasi kepada 4.1 peratus pada suku akhir 2023 daripada 5.3 peratus suku sebelumnya,” katanya.

Mohd. Afzanizam menjelaskan beberapa sebab peserta pasaran yakin terhadap dolar AS kerana Fed nampaknya tidak akan berganjak daripada pendirian ketatnya dalam masa terdekat.

Oleh itu, ringgit berkemungkinan diniagakan sekitar RM4.74 hingga RM4.75 berbanding dolar AS Selasa, katanya.

“Dari sudut teknikal, ringgit sudah berada dalam keadaan terlebih jual, mencadangkan susut nilai selanjutnya akan dihadkan,” katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.2012/2048 daripada 3.1957/2000 pada penutup semalam dan susut nilai berbanding euro kepada 5.1109/1163 daripada 5.1038/1103.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding pound British kepada 5.9653/9715 daripada 5.9804/9880 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu didagangkan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5321/5361 daripada 3.5260/5307 pada penutup semalam, dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 13.2970/3169 daripada 13.2559/2782.

Ia juga lebih rendah berbanding rupiah Indonesia pada 302.8/303.2 daripada 302.1/302.6 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.43/8.45. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×