Reka bentuk ikut bajet pembeli - Perunding hartanah

Reka bentuk ikut bajet pembeli – Perunding hartanah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP pembeli mempunyai citarasa tersendiri dalam pemilihan jenis kediaman yang hendak dibeli.

Selain bajet dan lokasi  yang menjadi faktor utama pemilihan, reka bentuk rumah ada ketikanya  menjadi asas pemilihan.

Bagi perunding hartanah dari IQI Reality Sdn. Bhd, Amiruddin Abdul Rahman, terdapat pembeli yang memilih reka bentuk moden seperti berbentuk kotak di mana ruang dalaman boleh digunakan sepenuhnya.

Namun kata beliau, seni bina kediaman seperti itu kurang ciri-ciri artistik.

“Tidak kurang juga ada yang memilih reka bentuk biasa, menggunakan atap berbentuk ‘A’ supaya senang  penyelenggaraan berbanding rekabentuk moden menggunakan ‘flat roof’ yang selalu mengalami masalah ‘water proofing.’

“Permintaan reka bentuk kediaman de­ngan elemen hijau dalam rumah pula masih kurang. Biasanya pemaju yang memasukkan elemen ini untuk menarik pemilik yang cintakan alam sekitar.

“Antara elemen hijau yang biasa diterapkan adalah penggunaan panel solar (untuk penjimatan elektrik) dan sistem ‘rain water havesting’ (tadahan air hujan untuk kegunaan luaran dan dalaman),” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau yang berpengalaman lebih 14 tahun dalam bidang hartanah berkata, kediaman yang berdekatan dengan tempat kerja dan sekolah menjadi pilihan utama pembeli.

Selain itu, projek dengan konsep perbandaran iaitu memiliki pelbagai kemudahan, turut mendapat permintaan tinggi.

Perunding hartanah, Gudrotullah Bijarto atau lebih dikenali sebagai Ikwan pula berpandangan, reka bentuk moden minimalis dan kontemporari menjadi pilihan pembeli.

Menurut beliau, pembeli kediaman bertingkat seperti apartmen dan kondominium pula memilih hartanah yang mempunyai kemudahan serba lengkap seperti kolam renang dan taman rekreasi.

“Untuk kediaman bertanah, bangunan dengan reka bentuk moden dan mempunyai kawasan  letak kereta yang luas antara faktor penarik pembeli,” katanya.

Beliau yang terlibat dalam jual beli hartanah sekitar Lembah Klang terutama Putrajaya dan Damansara berpendapat, kewangan menjadi faktor utama pembelian mana-mana hartanah.

Menurutnya, ramai memilih kediaman strata disebabkan harganya lebih murah berbanding rumah bertanah.

“Faktor lokasi juga memainkan peranan dalam pemilihan rumah.  Permintaan tinggi jika lokasi  berdekatan bandar, sekolah dan masjid,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×