Proton S70 - Evolusi kebijaksanaan jentera

Proton S70 – Evolusi kebijaksanaan jentera

Proton S70
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sememangnya sudah lama Proton tidak mengeluarkan kereta sedan baharu. Setelah “kembar tiga” varian “X” iaitu X70, X50 dan X90, kini pasaran tempatan disajikan dengan satu model sedan terbaharu iaitu S70.

Proton kembali merancakkan pasaran kereta sedan segmen C, sekali lagi mengevolusikan daripada model ‘dasar’ daripada Geely, menjadikan ia sebuah sedan yang telah ditambahbaik dan diberi penyesuaian untuk pemanduan tempatan.

Tanpa banyak mempersoalkan ‘salasilah keturunannya’ adalah lebih baik kita kupas tentang fizikal rupa bentuk dan rekaan kabin dalaman serta ulasan tentang hasil pandu uji yang saya lakukan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

RUPA BENTUK FIZIKAL

Akibat daripada keupayaan kewangan dan selera rakyat tempatan yang pelbagai, Proton telah memasarkan empat variasi untuk dipadankan dengan bakal pemiliknya. Eksekutif, Premium, Flagship dan Flagship X. Seperti biasa, varian Flagship adalah spesifikasi tertinggi (dan paling mahal), namun untuk S70 ini varian Flagship terdapat dua model iaitu Flagship dan Flagship X. Harus anda tahu, Flagship X cuma berbeza daripada keberadaan ‘sunroof’ dan skim warna tambahan iaitu Quartz Black dengan perbezaan harga RM5,000.

Dari fizikal luaran, kesemua varian kelihatan hampir serupa dan mungkin pada mata yang tekun mengkaji, varian Eksekutif menggunakan roda 16 inci dan penggunaan fabrik yang menyaluti tempat duduknya. Berbeza dengan varian Flagship, penggunaan roda bersaiz 17 inci dan mempunyai ‘sunroof’ adalah dua perbezaan ketara dari segi perbandingan fizikal.

Lampu LED lengkap dengan DRL (Daytime Running Lights) dan bar lampu belakang yang memenuhi sepanjang ruang antara dua lampu belakangnya memastikan bahawa ini adalah sebuah kereta sedan eksklusif yang berada dalam segmen C. Malah, tidak keterlaluan sekiranya saya katakan,  ia seperti sebuah kereta yang dalam kelas 2.0cc jika dilihat dari jauh.

Anda tidak akan dapat mengelak daripada terpandang papan sesentuh infotainmen S70 ini apabila melangkah masuk ke dalam kabin.  Papan skrinnya yang bersaiz 12.3 inci memberikan anda pelbagai info dan petunjuk terhadap pelbagai fungsi elektronik yang dibekalkan kepada kereta ini. Bagi yang pernah menaiki atau memandu Proton X90, anda dapat merasakan terdapat persamaan rekaan pada tombol-tombol suis papan pemuka di tengah. Suis-suis pelaras hawa dingin, pemanas cermin belakang, penghidup enjin, serta suis isyarat kecemasan berada dalam keadaan suis fizikal dan bukannya jenis digital.

Konsol tengahnya juga menampakkan elemen-elemen eksklusif terutamanya dengan kemasan berwarna perak serta tombol gear berbentuk T.  Konsol tengah ini juga direka dengan ruang penyimpanan barangan kecil di bahagian bawahnya. Bahagian trimming pintu S70 ini dibaluti lapisan kulit campuran lengkap dengan jahitan-jahitan kasar yang membentuk rekaan-rekaan seninya tetapi hanya pada bahagian tengah pintu. Manakala bahagian atas dalaman pintu menggunakan penutup plastik yang keras.. Kerusi-kerusinya dibaluti kulit hitam dan mempunyai kusyen-kusyen yang empuk dan membentuk seperti sebuah tempat duduk semi-bucket. Papan pemukanya pula seperti disaluti kulit hitam yang bercorak dan penampakan seni jahitan juga dipaparkan di sini.

Terdapat juga ruang pengecas peranti tanpa wayar terletak di bahagian hadapan konsol tengah, yang mana keupayaan seperti ini seolah-olah menjadi satu kemestian bagi semua kenderaan baharu dalam lingkungan setahun ini.

Stereng S70 ini walau bagaimanapun, tidak menampak­kan sesuatu yang baharu namun memberikan perasaan genggaman yang penuh apabila anda menggenggamnya dengan kemas ketika pemanduan. Tombol-tombol yang disediakan pada stereng tidak jauh berbeza daripada kebanyakan kenderaan-kenderaan yang seangkatan dengannya.

Sebagai penumpang di belakang, anda akan mendapati ruang hembusan hawa dingin berada di bawah (konsol tengah tadi), dan juga terdapat ruang mengecas USB C dan USB A. Jika anda memerhatikan ruang tempat duduk barisan belakang, anda mungkin merasakan bahawa ia seolah-olah sempit. Namun akibat daripada rekaan tempat duduk hadapan yang mempunyai lengkungan di bahagian tengah belakang, membolehkan ada jarak antara lutut anda dengan kusyen tersebut dalam lingkungan satu genggaman tangan.

Ruang bumbung belakang juga agak selesa dan tinggi walaupun anda mempunyai ketinggian 6 kaki. Kusyen belakang juga tidak kurang empuknya namun sedikit keras pada bahagian tengah antara tiga tempat duduk belakang ini.

PEMANDUAN

Tidak dapat dinafikan, saya telah memandu uji banyak kenderaan yang baru dilancarkan dalam pasaran tempatan sama ada jenama dari Jepun atau Eropah. Proton S70 ternyata mempunyai keupayaan bantuan pemanduan atau dengan erti kata bantuan sistem ADAS (Advance Driver Assistance System) yang agak terkini dan agak lengkap. Seperti Proton X70, X50 atau X90, anda berupaya untuk memandu dengan bantuan pemanduan dalam lorong, informasi papan tanda trafik, bantuan pertukaran lorong, amaran lintasan kenderaan luaran, termasuk juga bantuan parkir secara automatik.

Keupayaan bantuan pemanduan elektronik ini terlalu banyak untuk saya uraikan di sini tetapi memadailah saya katakan bahawa ia agak terkini.

Begitu pun, enjinnya yang hanya 1.5cc lengkap dengan turbo, 7 kelajuan gear DCT diragui kehebatannya. Pada permulaan pergerakannya daripada keadaan statik, ia seperti ‘melekat’  dan agak berat untuk bergerak. Namun, apabila pergerakan kenderaan dan kuasa enjin mula berada di sekitar RPM 2,000, terdapat satu lonjakan kuasa dirasakan. Perasaan ini seolah-olah seperti ‘turbo lag’ iaitu keadaan  ketika kuasa tujahan agak ‘terlewat’ sedikit.  Keadaan ini memerlukan anda melatih diri sendiri terutama ketika pengendalian dari kelajuan rendah dan permulaan penambahan kelajuan / kuasa. Dari faktor keselesaan, S70 tidak langsung kurang dalam ujian tersebut, sama ada bagi peman­dunya atau pun penumpang.

KESIMPULAN

Jika  dibandingkan dengan Toyota Vios, atau Honda City, mungkin anda tidak bersetuju kerana Proton S70 dikatakan untuk segmen C, maka kenapakah ia dibandingkan dengan kereta dari segment B pula. Jawapannya mudah, Proton menyatakan mereka memasarkan sebuah kereta bersegmen C pada kadar harga Segmen B. Maka apa yang anda perlu tahu, S70 varian Flagship X dipasarkan pada harga RM94,800 dan sekiranya anda tidak memerlukan sunroof, anda boleh memilih varian Flagship sahaja dengan pengurangan harga sebanyak RM5,000 iaitu RM89,800. Sementara versi Eksekutif dipasarkan pada harga RM73,800 dan versi Premium pada harga RM79,800.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN