Proton capai rekod jualan baharu di Brunei

Proton capai rekod jualan baharu di Brunei

PROTON X50 model terlaris Proton di Brunei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton mencapai rekod jualan baharu untuk Brunei apabila menjual 879 unit kenderaan tahun lalu, peningkatan 87 peratus daripada 422 unit pada 2022.

Menurut Proton, prestasi tersebut telah melonjakkan jenama Proton ke tangga kelima keseluruhan dalam jaduah jualan dan memperoleh pegangan pasaran sebanyak 5.4 peratus, berbanding 2.2 peratus tahun sebelumnya.

Katanya, Jumlah Volum Industri (TIV) bagi negara tersebut ditutup pada 14,640 unit untuk 2023, peningkatan daripada 13,000 unit tahun sebelumnya.

Jelasnya, Proton X50 mendahului SUV segmen B dengan jualan sebanyak 476 unit, merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah jualan Proton di negara berkenaan.

Penagrah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas tentang nilai dan cirinya, serta ekuiti jenama Proton.

“Proton bekerjasama rapat dengan pengimport kami, PAD Motors, untuk mempromosikan harga kompetitif dan ciri-ciri unggul model itu berbanding pesaingnya di samping menawarkan pakej kewangan untuk memudahkan pembelian.

“Ini disokong dengan aktiviti kami untuk mempromosikan jenama PROTON, yang dibantu oleh kejayaan X50 di Malaysia yang membantu membina keyakinan pelanggan Brunei,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Proton Persona dan Proton Iriz berada di kedudukan keenam dan kelapan untuk kereta segmen B manakala Proton X90 menduduki tempat ketujuh untuk SUV segmen D walaupun telah dijual kurang daripada setengah tahun.

Katanya, dengan menggunakan kejayaan pada 2023 sebagai landasan, PROTON dan PAD Motors yakin untuk mencapai jualan lebih daripada 1,000 unit di Brunei pada 2024.

“Kunci untuk mencapai matlamat itu ialah pelancaran Proton S70 serba baharu, yang dijangka berlaku sebelum hujung Februari. Negara itu merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima model itu dan 15 unit telah dihantar ke sana bulan lepas menjelang pelancaran rasminya.

“Untuk 2024, Proton yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan di Brunei. Dengan minat yang berterusan terhadap Proton X50 dan model lain serta pengenalan Proton S70, kami menyasarkan untuk menembusi halangan 1,000 unit pada akhir tahun ini,” tambah Steven Xu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN