PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sarawak Petchem Sdn. Bhd. (Sarawak Petchem) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama untuk membina loji Ammonia dan Urea berkarbon rendah di Bintulu, Sarawak.
Menurut PCG, di bawah terma MoU itu, kedua-dua syarikat akan menjalankan kajian komprehensif bersama dari segi teknikal dan komersial, dengan aspek-aspek yang lain.
Katanya, ia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian tenaga lestari dengan memanfaatkan potensi tenaga yang boleh diperbaharui di rantau ini.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem, Datuk Mohammad Ibrahim bersama Ketua Kewangan & Komersialnya Abdul Razak Ali; manakala PCG diwakili Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Mazuin Ismail dan Ketua Perancangan Strategik & Usaha Niaga, Ir. Yaacob Salim.
Majlis disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Openg; Pengerusi Sarawak Petchem, Tan Sri (Dr) Abdul Aziz Husain; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
Abang Johari berkata, usahasama untuk mengkaji potensi pembangunan loji Ammonia dan Urea berkarbon rendah berskala dunia amatlah dialu-alukan.
“Loji ini mempunyai keupayaan pada masa akan datang untuk menghasilkan ammonia dengan jejak karbon yang rendah; ia sememangnya satu inisiatif strategik dalam memanfaatkan peluang pasaran peralihan tenaga global,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh PCG.
Mazuin pula berkata, kerjasama itu mengukuhkan lagi hubungan pekerjaan PCG dengan Negeri Sarawak.
Kata beliau, ia berpotensi untuk menjadi projek berkarbon rendah pertama bagi PCG dan selaras dengan komitmen untuk memacu transformasi yang lestari dalam rantaian nilai Kumpulan.
“Kerjasama dengan Sarawak Petchem ini bukan sahaja sejajar dengan objektif kelestarian negara dan juga PCG, tetapi juga memudahkan pengembangan kami yang selanjutnya ke dalam pasaran urea di Asia Tenggara.
“Selain itu, ia memberi peluang untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui daripada Sarawak sambil melengkapkan usaha kami dalam membangunkan kemudahan Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS),” katanya.
Menurut PCG, ammonia berkarbon rendah selalunya digunakan dalam sektor hidrogen dan tenaga untuk pembakaran bersama, “bunkering” dan aplikasi ammonia lestari pada masa hadapan, manakala urea pula berfungsi terutamanya sebagai baja, bahan mentah untuk resin dalam papan lapis dan pelekat, serta cecair ekzos diesel untuk pengaplikasian automotif. – UTUSAN










