Perodua Ativa Hibrid, sekadar mencuba atau realiti?

Perodua Ativa Hibrid, sekadar mencuba atau realiti?

Perodua Ativa Hibrid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Uji pandu yang dilakukan selama ini selalunya terhadap kenderaan-kenderaan baharu atau kenderaan yang bakal diperkenalkan di pasaran. Namun ini kali pertama saya diberi peluang untuk menjalankan bukan setakat reviu kenderaan ini, tetapi sekali gus, benar-benar memandu uji kenderaan yang belum lagi dihasilkan secara komersial. Kenderaan yang dimaksudkan ialah PERODUA ATIVA HIBRID.

PENGENALAN

Perodua telah memulakan kajian kenderaan elektrik pertamanya serta mobiliti jangka panjang melalui kajian model terhadnya, Ativa HIBRID. Model ini menggunakan sistem “hibrid bersiri” di mana set motor elektrik menggerakkan roda kenderaan manakala enjin bertindak sebagai penjana kuasa untuk pengencasan bateri.

Penggunaan teknologi ini menjadikan sistem bersiri Perodua Ativa HIBRID mampu mencapai jarak sejauh 31.3 kilomer (km) seliter (berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia). Program perintis oleh Perodua ini juga akan membolehkan syarikat kereta kompak ini melihat tahap penerimaan pasaran sebagai alternatif kepada pembelian dan penjualan kereta enjin tradisional.

REKA BENTUK FIZIKAL

Sekiranya tidak memerhati dengan teliti, anda tidak akan sedar bahawa ia adalah sebuah Ativa yang berbeza. Hanya sedikit perubahan fizikal yang terdapat pada reka bentuk luarannya. Saiz dan rekaan bentuk gril atau jeriji hadapannya lebih kecil berbanding rekaan gril Ativa yang biasa. Malah, jerijinya juga turut mendapat perubahan rekaan berbentuk seperti sarang lebah berbanding rekaan Ativa sebelumnya yang lebih kepada rekaan bilah selari.

Pintu bonet belakangnya diperbuat daripada plastik dan bukan daripada material keluli. Perkara ini adalah biasa bagi kereta-kereta di Jepun, tetapi tidak di pasaran tempatan. Skim warna dua tona (bumbung hitam) juga tidak terdapat pada model HIBRID ini tetapi hanya dengan satu skim iaitu warna putih metalik.

Sementara itu, Ativa HIBRID menggunakan roda bersaiz 17 inci dan menggunakan rekaan yang berlainan berbanding Ativa biasa. Malah HIBRID ini menggunakan lima nat sementara model biasa Ativa menggunakan empat nat pada rodanya. Namun Ativa HIBRID menggunakan tayar yang lebih ‘kurus’ iaitu 195/60 berbanding saiz Ativa biasa 205/60. Sebagai tambahan, Ativa HIBRID ini tiada roda ‘spare’ dalam ruang penyimpan barangan di belakang.

Melangkah masuk ke dalam kabin Ativa HIBRID, mata saya `melilau’ mencari perbezaan daripada Ativa biasa. Selain sedar akan sedikit perubahan pada rekaan fabrik tempat duduknya, bahagian tombol-tombol pada papan pemuka depan dan konsol tengah menarik perhatian saya.

Tombol suis untuk penghawa dingin ternyata menggunakan tombol-tombol untuk di ‘putar’ berbanding Ativa biasa menggunakan suis di ‘tekan’. Pengendali penghawa dingin juga ditambah dengan fungsi ‘climate control’ sementara Ativa biasa tiada. Suis penghidup enjin juga berwarna biru, berbanding suis penghidup Ativa biasa berwarna hitam.

Melihat kepada bahagian konsol tengah, Ativa HIBRID tidak lagi dilengkapi dengan ‘handbrake’ manual tetapi digantikan dengan sistem brek parkir elektronik. ‘Kekosongan’ ruang ini turut membolehkan dua ruang tempat meletak minuman di konsol tengah ini, menggantikan ruang brek tangan model yang dahulu.

Melihat pula pada stereng Ativa HIBRID, saya tidak menjumpai suis untuk mengendara sistem audio maka saya terpaksa menggunakan tangan untuk mencari stesen radio atau pun untuk menguatkan atau memperlahankan bunyi audio, pada skrin sesentuh sistem infotainmen.  Saya menjangkakan ini mungkin kerana Ativa HIBRID diimpot sepenuhnya dari Jepun dan sistem infotainmen lokal dari  PERODUA telah dipasang untuk jentera-jentera ujian ini. Agak menyusahkan untuk memandu sambil menjeling untuk melaraskan penggunaan sistem audio.

Cermin sisi Ativa HIBRID menggunakan rekaan model pasaran domestik Jepun (JDM)ia iaitu mempunyai cermin kecil tambahan pada bahagian penumpang hadapan belah kiri. Ia turut menggunakan warna salutan putih seperti warna badannya. Ini berbeza untuk Ativa model terdahulu yang menggunakan skim warna hitam pada cermin sisi walau apa pun warna asas keseluruhan Ativa tersebut.

PEMANDUAN

Saya harus menyatakan bahawa sistem ‘keyless’ untuk Ativa HIBRID lebih khusus, dengan sedikit perbezaan pada suis kunci penggera. Menampakkan lebih ringkas tetapi keupayaan membuka kunci pintu tanpa kunci dapat dilakukan pada kedua-dua pintu hadapan berbanding model Ativa lama yang hanya boleh dilakukan pada pintu bahagian pemandu.

Model HIBRID mempunyai fungsi “Smart Pedal” di mana pedal pendikitnya ketika dilepaskan akan melakukan tindakan memperlahankan kenderaan anda secara lembut tanpa anda menekan pedal brek. Tindakan ini juga membolehkan ia mengecas bateri dengan lebih efisien. Sekiranya anda ingin memberhentikan kenderaan secara total, hanya dengan pijakan yang lembut dapat melaksanakan tindakan tersebut.

Bantuan pemanduan elektronik Ativa HIBRID hampir sama pada model yang lepas namun, saya mendapati ketiadaan camera 360 yang membantu dalam kebolehan pandang belakang dan sekeliling sebagai pelik.

Enjin HIBRID sebenarnya berbeza daripada enjin Ativa biasa, iaitu menggunakan enjin 1.2cc berbanding model biasa 1.0cc lengkap dengan turbo. Sistem HIBRID terus langsung berfungsi menggerakkan roda-roda tanpa berkait dengan enjin, dengan erti kata lain, enjin Ativa HIBRID 82 PS/105Nm 1.2 liter WA-VEX Atkinson-cycle 3 silinder ini hanya berfungsi sebagai janakuasa untuk bateri utama. Sementrara itu, motor elektrik ini berkuasa 106 PS atau 170Nm.

 

KESIMPULAN

Kenderaan elektrik (EV), maupun HIBRID dilihat sebagai cara untuk membekalkan kenderaan yang lebih mesra alam, mengurangkan pencemaran dan kebergantungan  pada sumber petroleum. Saya hampir pasti bahawa pasaran kenderaan elektrik tidak dapat kita elakkan.

Infrastruktur yang saya perkatakan tidak mencukupi pada tahun lepas, kini sudah pun mempunyai kapasiti jarak yang dapat dicapai oleh mana-mana kenderaan elektrik yang ada di pasaran, sama ada di laluan Utara-Selatan atau Pantai Timur. Hanya di Sabah dan Sarawak, masih terlalu awal, tetapi saya pasti ia akan berubah menjelang akhir 2024 ini.

Uji pandu kenderaan ini, sememangnya untuk memberikan jawapan terhadap penggunaan sebenar kenderaan elektrik dalam negara dan persiapan PERODUA untuk memilih jenis jentera yang bersesuaian diperkenalkan. Harga jualan seunit kenderaan elektrik di Malaysia setakat ini tidak dibenarkan kurang daripada RM100,000, tetapi harga anggaran seunit Ativa HIBRID dirasakan lebih RM10,000 daripada harga Ativa biasa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN