PETALING JAYA: Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan tempatan sebanyak 5.3 peratus pada Disember 2023 mengatasi jangkaan, namun penganalisis mendapati kelemahan timbul daripada permohonan isi rumah untuk lebih banyak pinjaman.
Jika trend itu berterusan, penganalisis percaya, pertumbuhan pinjaman perniagaan sepatutnya memberi sedikit perlindungan kepada momentum yang perlahan daripada isi rumah tahun ini, memandangkan pelancaran beransur-ansur projek infrastruktur awam besar oleh kerajaan.
MIDF Research berkata, perlu diingat bahawa pasaran melihat penurunan dalam permohonan pinjaman dalam pemacu teras lain, seperti kategori gadai janji, sewa beli dan modal kerja.
“Kami bimbang jika trend ini berterusan, kami boleh melihat kelembapan pada pertumbuhan pinjaman 2024, walaupun bank nampaknya bergantung kepada inisiatif kerajaan dan projek infrastruktur berskala besar untuk menyokong pertumbuhan pinjaman pada separuh kedua 2024,” katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan penarafan “positif” untuk sektor perbankan, meramalkan pertumbuhan pinjaman 4.5 hingga 5 peratus untuk 2024, dengan pilihan utama ialah CIMB Group Holdings Bhd. dan Alliance Bank Malaysia Bhd.
Katanya, pertumbuhan pinjaman 2023 menyaksikan rangsangan saat akhir, melepasi jangkaan 4.5 hingga 5 peratus.
Tambahnya, walaupun pemacu runcit biasa seperti gadai janji, sewa beli dan pinjaman peribadi kekal stabil, pinjaman perniagaan mempunyai bulan yang luar biasa pada Disember, mungkin disebabkan lanjutan pengeluaran selepas pilihan raya.
CGS-CIMB turut mengunjurkan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2024, mencatatkan potensi kelembapan dalam pertumbuhan pinjaman automotif daripada 9.7 peratus pada 2023 kepada kadar satu digit tahun ini, berikutan jangkaan jualan kereta yang lebih lemah.
Firma penyelidikan itu juga meramalkan peruntukan kerugian pinjaman oleh sistem perbankan pada suku keempat 2023, menjangkakan ia akan menghampiri atau lebih rendah daripada RM1.46 bilion pada suku yang sama sebelumnya.
“Ia disimpulkan daripada penurunan sebanyak RM503.7 juta (-1.5 peratus suku ke suku) dalam jumlah peruntukan industri perbankan pada suku keempat 2023,” katanya.
CGS-CIMB mengesahkan penarafan “overweight” untuk sektor perbankan, disokong oleh hasil dividen yang kukuh sebanyak 5.1 peratus yang dianggarkan untuk 2024, dengan pilihan utama ialah Hong Leong Bank Bhd., Public Bank Bhd. dan RHB Bank Bhd.
Firma penyelidikan RHB Research turut menjangkakan pinjaman perniagaan mengekalkan momentum kukuh tahun ini, manakala segmen isi rumah boleh mengambil `posisi belakang’ disebabkan kesan asas yang lebih tinggi.
Ia menjangkakan pinjaman berkembang pada 4.5 hingga 5.0 peratus, tetapi mengekalkan penarafan “neutral” untuk sektor itu, dengan CIMB, AMMB Holdings Bhd., Hong Leong Bank dan Alliance Bank sebagai pilihan utama.
“Walaupun latar belakang makroekonomi yang positif boleh memberikan sokongan kepada prestasi saham perbankan tahun ini, kami menjangkakan pendapatan sektor itu menjadi sederhana kepada pertumbuhan [6.0 peratus tahun ke tahun pada 2024]. Oleh itu, kami tidak melihat prestasi cemerlang sektor tahun ini,” katanya.-UTUSAN










