PETALING JAYA: Pendaftaran harta intelek dalam kalangan Perusahaan Mikro, kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dengan MyIPO masih rendah berbanding luar negara.
Menurut Pengerusi MyIPO, Ts. Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain, MyIPO menerima sebanyak 61,484 permohonan pendaftaran dari luar dan dalam negara pada tahun lepas.
Bagaimanapun katanya, seramai 27,667 atau 45 peratus sahaja daripada jumlah permohonan itu merupakan PMKS tempatan.
“PMKS merupakan sumber dalam memacu ekonomi negara dan peratus itu dianggap masih rendah kerana masih ramai belum berdaftar dengan MyIPO,” katanya ketika Pengumuman Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024.
Jelas Mohd. Zuhan, sebanyak 7,800 permohonan patent yang diterima dan 4,000 yang telah didaftarkan akhir tahun lepas yang mengambil tempoh setahun untuk kelulusan.
Tambahnya, tiada isu dalam cepat atau lambat kelulusan yang diberikan kerana MyIPO dalam usaha untuk memendekkan masa permohonan dan kelulusan tersebut.
“Proses permohonan hak cipta dipendekkan ke 30 minit berbanding 6 bulan, manakala proses bagi tanda dagangan pula dari 8 bulan ke 6 bulan dan akan diusahakan menjadi 4 bulan sahaja untuk masa akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, MyIPo mengikuti standard peringkat antarabangsa dan mempunyai prosedur yang perlu diikuti sehingga memerlukan masa yang lebih untuk kelulusan.
Di samping itu, katanya, MyIPO turut mempunyai pelbagai usaha untuk dilakukan bagi mengalakkan usahawan-usahawan itu mendaftar harta intelek mereka.
“Antara usaha MyIPO adalah penganjuran Hari Harta Intelek Negara 2024 bagi mengumpul dan mendedahkan kepada seluruh rakyat Malaysia berkaitan program-program IP dari peringkat sekolah sehingga ke syarikat korporat besar dan agensi kerajaan.
“Selain itu, MyIPO juga membuat promosi di media massa dan cetak, menggunakan papan iklan di lebuh raya dan beberapa lapangan terbang, serta mempunyai lebih 40 program dianjurkan dibawah Akademi Intelek MyIPO, manakala lebih 150 program di seluruh cawangan Malaysia di peringkat negara dan antarabangsa,” ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), beliau berkata, ia merupakan satu fenomena baharu di Malaysia walaupun sudah muncul 10 hingga 15 tahun lepas di peringkat global.
“Sebenarnya, perbincangan mengenai sama ada orang yang menggunakan AI untuk menciplak hasil orang lain boleh didakwa atau tidak, sudah dibawa ke meja perbincangan di peringkat antarabangsa.
“Sekarang jawatankuasa berkaitan sedang menyediakan satu Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) khas diperingkat persidangan Harta Intelek MyIPO dan akan diusulkan lagi secara terperinci pada September tahun ini,” katanya. – UTUSAN










