Malaysia Airlines perkenal MHrail 

Malaysia Airlines perkenal MHrail 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) memperkenalkan MHrail, produk baharu yang menyediakan sambungan udara dan rel di London dan Seoul melalui kerjasama dengan AccesRail.

Kerjasama itu membolehkan pelanggan menempah sambungan kereta api dengan  lancar dan membuka peluang untuk meneroka bandar-bandar besar di Seoul dan London apabila melakukan perjalanan dengan MAS.

Menurut Ketua Pegawai Komersial Penerbangan Malaysian Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran, pelanggan MAS kini boleh menempah tiket kereta api Korail KTX untuk laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan.

Katanya, pelanggan juga boleh menempah tiket kereta api antara London Heathrow di United Kingdom dan destinasi di sepanjang Pantai Timur melalui London North Eastern Railway (LNER) dan Pantai Barat dengan Avanti West Coast.

“Perluasan ini melengkapkan laluan kereta api sedia ada yang ditawarkan melalui perkongsian ini seperti di Great Western Railway dan tiket boleh didapati di laman web rasmi Malaysia Airlines serta semua sistem pengedaran global (GDS) agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Dersenish, pihaknya berbesar hati menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk sambungan penerbangan ke kereta api bagi memastikan pengalaman perjalanan yang memudahkan untuk semua pelanggan MAS.

“Dengan pengenalan produk MHrail baharu, kami menyediakan laluan yang lancar kepada penumpang untuk membeli tiket penerbangan dan kereta api, menjadikannya mudah bagi mereka untuk meneroka bandar-bandar berkenaan dan menikmati sambungan seterusnya setibanya di London atau Seoul melalui jadual perjalanan dan tiket,” katanya

Dalam pada itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan AccesRail, Andrew Popescu berkata, AccesRail dan MAS telah bekerjasama selama bertahun-tahun untuk meluaskan rangkaian laluan syarikat penerbangan itu.

“Kami teruja menguatkan lagi kerjasama Malaysia Airlines-AccesRail dan berharap untuk meneruskan kerjasama dengan mereka pada skala global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN