SIME Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menekankan komitmennya terhadap biodiversiti bandar dengan Taman Komuniti Putra Heights di Putra Heights.
Taman Komuniti Putra Heights berkeluasan 3.07 hektar, telah disiapkan pada Januari 2024 dan menandakan kejayaan syarikat dalam usaha penjagaan alam sekitar melalui pemeliharaan ekosistem.
Taman serba baharu ini menempatkan 442 pokok yang terdiri daripada 30 spesies yang pelbagai, separuh daripadanya merangkumi spesies tumbuhan terancam yang diiktitraf oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemeliharaan Alam Semula Jadi (International Union for Conservation of Nature (IUCN).
Dibina dengan konsep inklusiviti, taman ini dilengkapi kemudahan yang sesuai dan selamat untuk kanak-kanak dan warga emas serta untuk orangkurang upaya, termasuk laluan pejalan kaki yang mesra kerusi roda dengan panduan yang jelas.
“Taman ini juga dilengkapi dengan lampu LED solar yang memanfaatkan sumber semula jadi untuk menjana tenaga. Selain menikmati persekitaran yang tenang, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga di taman ini,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Pada majlis pembukaan rasmi taman berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Hartanah, Datuk Ir. Mohd Sohimin Mohd. Alayedin menekankan komitmen syarikat terhadap pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti mampan.
Katanya, sebagai ‘Force for Good’, Sime Darby Property mengutamakan kemampanan dalam semua yang dilakukan.
“Kami kekal komited dalam menjaga dan memulihara alam sekitar bermula dari pembangunan kami.
“Dalam menyokong ikatan komuniti dan placemaking, kami berusaha untuk memenuhi keperluan penduduk perbandaran kami dengan menyediakan pembangunan dan kemudahan awam yang berkualiti tinggi. Pembinaan Taman Komuniti Putra Heights ini mengukuhkan matlamat syarikat sebagai ‘Pengganda Nilai kepada Masyarakat, Perniagaan, Ekonomi dan Planet’,” katanya.
Pembukaan rasmi Taman Komuniti Putra Heights disaksikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dan ADUN Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.
Sejak penubuhannya pada 1999, Putra Heights berkeluasan 687.9 hektar, telah menarik penduduk yang menginginkan kawasan kediaman yang damai, mampan dan serba lengkap dengan terhubung ke pusat bandar.
Terletak di kaki bukit Bukit Cermin di selatan Subang Jaya, perbandaran bersepadu yang tenang ini mempunya populasi lebih 30,000 orang.
Projek terbaharu syarikat di Putra Heights juga merupakan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang pertama dan merangkumi Serasi Residences. Terletak secara strategik di Putra Heights Sentral, Serasi Residences memenuhi permintaan tinggi untuk hartanah berdekatan dengan pusat pengangkutan awam utama.
Pembeli rumah akan pasti menghargai laluan berbumbung sepanjang 400 meter ke stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Putra Heights, yang bersambung kepada laluan Kelana Jaya dan Sri Petaling serta memberikan akses langsung kepada penggunan kepada pelbagai destinasi.-UTUSAN









