Jualan Proton terus meningkat

Jualan Proton terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan Proton terus meningkat apabila menjual 12,882 unit untuk domestik dan eksport pada Januari lalu, jualan awal tahun terbaiknya sejak 2013.

Pencapaian itu membolehkan Proton satu-satunya jenama automotif yang mencatat prestasi jualan lebih baik berbanding Disember 2023, iaitu peningkatan sebanyak 1.3 peratus. Ia juga peningkatan sebanyak 10.3 peatus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Hasil permulaan yang kukuh itu, Proton mengekalkan tempat kedua dalam jadual jualan dengan selesa.

“Pegangan pasaran syarikat bagi Januari dianggarkan sebanyak 19.5 peratus iaitu 3.3 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

“Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 66,134 unit, bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6 peratus berbanding Disember, di mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan 2023,” kata syarikat automotif nasional itu dalam kenyataan.

Menurut Proton, lima modelnya menerajui segmen masing-masing dengan Proton S70 menyaksikan 1,442 unit telah dihantar pada Januari lalu.

Jelasnya, pada masa ini S70 mempunyai lebih 8,000 tempatan, mencerminkan permintaan kukuh dan positif daripada pelanggan.

“Model S70 juga memasuki pasaran eksport pertamanya di Brunei, apabila 15 unit telah dihantar sebelum pelancaran rasminya di sana pada Februari,” jelasnya.

Sementara itu, Proton X50 mencatatkan jualan sebanyak 2,002 unit pada Januari dan kekal sebagai `raja’ bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B, membuktikan popularitinya yang berkekalan lebih daripada tiga tahun selepas dilancarkan.

Proton Persona turut memulakan 2024 dengan baik apabila mendahului jualan bagi sedan segmen B dengan 1,846 unit terjual.

Model teratas Proton, iaitu X90, turut mencatatkan prestasi yang baik apabila kekal sebagai peneraju dalam pasaran SUV segmen D, dengan jumlah 365 unit terjual.

“Ini dipadankan oleh Proton Exora yang walaupun pengeluarannya telah tamat, MPV segmen C itu kekal relevan dengan 203 unit dijual,” katanya.

Selepas menamatkan 2023 dengan jualan mengagumkan sebanyak 70,184, Proton Saga memulai 2024 dengan kukuh apabila 6,129 unit terjual, mengesahkan populariti dan kepentingannya yang berkekalan dalam portfolio Proton.

Bagi model lain, jualan untuk Proton Iriz melonjak sebanyak 7 peratus berbanding Disember dengan 523 unit dijual manakala 372 Proton X70 telah dijual bulan lalu.

Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Proton teruja untuk memulakan 2024 dengan kuat diserlahkan lagi oleh penghantaran yang kukuh untuk model terbaharu, Proton S70.

“Sambutan yang menggalakkan mengesahkan bagaimana model kami bergema dengan pembeli yang mencari kenderaan inovatif. Oleh itu, kami berdedikasi sepenuhnya untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada pelanggan manakala pasukan kami tetap bekerja dengan gigih untuk memastikan penghantaran tepat pada masanya untuk memenuhi serta melebihi jangkaan pelanggan.

Menurut Roslan, ramai menganggap jualan automotif tempatan akan menurun tahun ini disebabkan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan pengenalan cukai barangan mewah.

“Walau bagaimanapun, Proton kekal optimistik dengan permulaan yang kukuh kami untuk tahun ini akan menetapkan nada untuk 11 bulan yang akan datang kerana kami menyasarkan lebih banyak pertumbuhan jualan dengan fokus berterusan pada inovasi, kualiti dan khidmat pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN