DARI perniagaan sektor pelancongan, kini bertukar arah kepada usahawan desa makanan dan membuka syarikat diberi nama Sumatraa ketika perniagaan asalnya terjejas akibat Covid-19 pada 2020.
Pengasas Sumatraa Industries Sdn. Bhd., Mohammad Syaifullah Che Ghani, 35 berkata, modal permulaan hanya RM1,500 dan setiap keuntungan dijadikan modal pusingan disebabkan ketika itu pandemik dan ekonomi yang teruk.
Kini, perniagaan Sumatraa telah berjaya menghasilkan pendapatan sebanyak RM3.5 juta setahun pada 2023 meningkat sebanyak RM2.2 juta berbanding tahun 2022 dan boleh memcecah RM250,000 sebulan.
Katanya, beliau akan meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mencapai sesuai target syarikat itu.
“Saya selalu mengingatkan kepada kumpulan saya dalam setiap apa yang kita buat mesti ada tujuan dan letakkan target seperti contoh, numbor magik,” katanya ketika dihubungi.
Graduan Sarjana dalam Pengurusan Pelancongan dari UITM itu berkata, mereka juga mempunyai 12 pekerja tetap dan 10 pekerja separuh masa di bahagian operasi serta llebih daripada 500 ejen yang menjual produknya.
Syaifullah berkata, dari rumah flat ke rumah teres, sehinggalah ke pejabat yang pertama di Puncak Alam dan kini, Sumatraa mempunyai satu pejabat pengurusan, satu gudang pembungkusan dan satu dapur produksi.

Menurutnya, Sumatraa mempunyai kilang di Taman Perindustrian, Puncak Alam yang mampu menghasilkan 1000-1500 pek setiap hari dan maksimum 2500 pek jika ada tempahan saat akhir.
“Kami juga dalam perancangan membuka kilang kedua di Kemaman, Terengganu tidak lama lagi untuk memperbanyakkan produksi,” katanya.
Menurut itu, Sumatraa menjual produk siap disaji iaitu Sambal Daging Dendeng, Rendang Ayam Aki, Sambal Kerang Kalut, Pes Rendang, Nasi Goreng Kampung dan Nasi Jagung.
Usahawan desa itu berkata, Sumatraa telah berjaya membawa masuk Sambal Daging Dendeng di Jaya Grocer Puncak Alam, Bukit Jelutong, Sungai Buloh, Seremban dan Nilai, seluruh outlet Village Grocer, Halavalet, Johor Bharu, serta Mesra Petronas di Taman Rambai, Melaka dan sekitar USJ.
Jelasnya, produk Sumatraa dijual di wadah Tiktok Shop dan setelah tiga tahun Sambal Daging Dendeng mendapat penjualan tinggi sehingga mencecah 408,000 pek terjual.
Mengulas lanjut mengenai nama Sumatraa, beliau berkata, nama itu tercetus daripada loghat Terengganu iaitu “Sume Traa” yang bermaksud Semua Kena Cuba. – UTUSAN









