PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) berjaya melatih seramai 9,861 usahawan atau 42 peratus melebih 6,940 orang sasaran sebenar pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, INSKEN turut berjaya melaksanakan 280 program atau 27 peratusan melebihi 220 sasaran tahun lepas.
“Program latihan dan bimbingan INSKEN itu seperti Kursus Asas Keusahawanan (KAK), Kursus Asas Industri, Kursus Urus Tunai, IBBC dan Start- Up Coaching,” katanya semasa Taklimat Media Pencapaian INSKEN 2023.
Jelas beliau, sebanyak RM13.3 juta lonjakan hasil diperolehi melalui 24 program bimbingan dan seramai 33 orang usahawan naik taraf dari kecil ke mikro, sekaligus menciptakan 392 pekerjaan baharu.
Katanya, program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) mencatatkan lonjakan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM12.89 juta melalui 20 program yang dijalankan.
“Selain itu, 118 peserta dari 4 Program Bimbingan Keuntungan Menu telah mencatatkan RM429,000 peningkatan jualan, manakala program konsultasi percuma BizClinic memberi manfaat kepada 1,587 usahawan melalui 49 sesi yang dijalankan,” katanya
Beliau berkata, pencapaian itu didorong oleh kerjasama rakan strategik kolaborasi utama INSKEN.
“Rakan kolaborasi itu seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM); Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); Lembaga Zakat Selangor (LZS)’ Public Islamic Bank (PBB); Jabatan Pembangunan Sumber dan Manusia Sabah (JPSM) yang menyumbang kepada 111 jumlah program kolaborasi dianjurkan tahun lalu,” katanya.
Mengulas lanjut perancangan tahun ini, Muhd. Firdaus berkata, INSKEN menyasarkan sebanyak 25 peratus peningkatan hasil jualan melalui program bimbingan berbanding tahun lepas.
Menurutnya, Institut itu turut berazam untuk melatih 7,967 usahawan melalui 233 program latihan dan bimbingan serta penambahan program baharu berkaitan pemfailan cukai.
“Kami akan memantapkan pengurusan tunai dan pembangunan produk dan servis di kalangan usahawan mikro dan informal,” ujarnya.
Tambah beliau, INSKEN tekad berusaha dan tidak akan lelah untuk terus membantu usahawan mikro dan informal dalam memajukan perniagaan. – UTUSAN










