PETALING JAYA: Status halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membolehkan permintaan terhadap produk salai keluaran syarikat Erul Food Industries meningkat sehingga mampu menarik pelanggan dari negara jiran termasuk Brunei dan Indonesia.
Pemilik Erul Food Industries, Mohd. Khairul Samat, 39, berkata, beberapa pembeli dari kedua-dua negara tersebut yakin untuk membeli produk tersebut disebabkan status berkenaan.
Katanya, bermula April hingga Julai 2023 produk salai milik mereka telah terjual sebanyak 35,000 pek namun, sejak syarikat mendapat pensijilan Halal Jakim, peningkatan penjualan produk lebih 60,000 pek.
“Setakat ini, permintaan telah meningkat sehingga 60 peratus.
“Tarikan pembeli luar negara semakin meningkat selepas kami menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebelum ini. Ada pelanggan yang berminat menambah tempahan produk kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, perniagaan yang bermula pada 2017 itu terletak di Pedas, Rembau, Negeri Sembilan kini, mempunyai empat orang pekerja Sehingga kini, terdapat 20 ejen dan tiga orang stokis.
Antara jenis produk keluaran mereka, daging Salai dan Pes Masak Lemak Cili Api (RM26 pek), hirisan daging salai (RM13 pek), daging salai hancur (RM20 pek) serta daging salai hancur (RM20 pek).
Jelas Mohd. Khairul, banyak manfaat yang diterima selepas mendapat pengiktirafan halal terutamanya kepercayaan pelanggan lama dan baharu.
“Kami dapat menarik minat pelanggan baru, ejen baharu yang mempercayai produk kami kerana menurut mereka, status halal itu membuktikan produk kami bersih, berkualiti dan tidak ragu ragu untuk dimakan.
“Tidak dinafikan sijil Halal membantu perniagaan kami berkembang dan bersaing sihat dengan perniagaan lain,” katanya.
Setakat ini, produk kami telah berada di hampir 20 buah kedai halal mart sekitar Lembah Klang.
“Kami juga mempunyai stokis di beberapa buah negeri dan pasar tani setempat yang sudah terjual produk melebihi 5,000 pek selepas mendapat sijil pengesahan Halal Malaysia,” katanya.
Mohd Mohd. Khairul turut menasihatkan usahawan agar berusaha mendapatkan sijil halal bagi produk atau servis kerana ia membolehkan perniagaan mereka berdaya saing.
“Jangan putus asa untuk mendapatkan sijil Halal kerana ia sangat berbaloi untuk masa depan perniagaan kita,” katanya.- UTUSAN










