Felda kaji bangun lebih banyak ekonomi kitaran perkukuh agensi

Felda kaji bangun lebih banyak ekonomi kitaran perkukuh agensi

AHMAD Shabery Cheek berucap pada penutup Simposium Felda 2024 sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Menara Felda Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mengkaji memba­ngunkan ekonomi kitaran yang berpotensi menjadi asas kepada pendekatan baharu untuk memperkukuh agensi itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Felda akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk melaksanakan pendekatan itu.

Katanya, Felda menjalin kerjasama berkenaan lalat askar hitam (BSF) yang mengandungi protein tinggi sebagai alternatif kepada makanan ternakan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada jagung dan kacang soya.

“Jika BSF boleh dibiakkan, ia boleh dijadikan asas dedak baharu untuk makanan ayam dan sebagainya.

“Pada masa lalu, sisa sawit adalah sangat rendah atau tiada nilai dan kami terpaksa mengupah orang untuk membuangnya, tetapi ia boleh digunakan sebagai makanan untuk BSF, yang boleh menjadi asas penting dalam membangunkan makanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Simposium Felda 2024 di Menara Felda, semalam.

Kelmarin, Felda dan Abeco Nature Science Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman penyelidikan untuk meningkatkan pengeluaran peptida dan protein antimikrobial dalam larva BSF.

Ia berpotensi menjadi penyelesaian makanan dengan ciri antimikrob dan tahap pemakanan yang tinggi untuk menyumbang kepada kelestarian sektor ternakan dan akuakultur.

Beliau berkata, negara ini memerlukan sekurang-kurangnya 200,000 hektar untuk penanaman jagung bagi memenuhi keperluan negara.

“Itu lebih besar daripada kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kedah dan Perlis. Tidak mungkin kita mempunyai tanah seluas itu untuk mengeluarkan jagung untuk makanan ternakan.

“Justeru, melalui sistem ekonomi kitaran, kita mempu­nyai sumber baharu untuk menghasilkan makanan ternakan yang sepatutnya mampu kita hasilkan.

“Ini antara perkara yang boleh kita kemukakan dalam sistem baharu atau pendekatan baharu mengurus ekonomi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×