PETALING JAYA: Eco World International Berhad (EcoWorld International) mengumumkan cadangan untuk melakukan pengurangan modal sebanyak RM500 juta dalam modal saham terbitannya.
Menurut kenyataannya, cadangan tersebut untuk memudahkan sasaran EcoWorld International untuk mengagihkan dividen sehingga RM504 juta (jumlah pengagihan sasaran) pada 2024 dan 2025.
Syarikat berkata, perkara itu juga bagi menyediakan ruang tambahan untuk pengisytiharan dividen selanjutnya oleh syarikat pada masa hadapan yang melebihi amaun pengagihan sasaran.
Tambahnya, selepas berjaya menyelesaikan cadangan pengurangan modal, pemaju hartanah itu berkata, syarikat bercadang untuk mengisytiharkan bahagian pertama dividen berjumlah sekurang-kurangnya RM144 juta.
Tarikh pengisytiharan dividen tranche pertama akan diumumkan kemudian.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teow Leong Seng berkata, pengukuhan pound British berbanding ringgit membolehkan syarikat menghantar pulang lebih banyak hasil jualan dalam bentuk ringgit daripada yang dijangkakan.
Katanya, penggearan Kumpulan pada masa ini hampir tiada kecuali pinjaman satu penggal di syarikat usaha samanya, EcoWorld London, memperuntukkan dana yang mencukupi untuk tujuan membayar balik pinjaman tersebut selepas tempoh matangnya pada Mac 2024.
“Sekiranya tiada sebarang rancangan segera untuk melaksanakan pelancaran atau pengambilalihan baharu dalam tempoh terdekat, keperluan modal kerja semasa Kumpulan kami dijangka lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Selepas mengambil kira keperluan modal kerja dan pembiayaan kami yang berkurangan dan diberi peluang pembangunan yang terhad, Kumpulan akan terus menumpukan pada penghasilan stok yang sudah siap untuk penjanaan tunai.
“Oleh itu, Lembaga Pengarah percaya adalah demi kepentingan terbaik pemegang saham untuk Kumpulan kami memulangkan lebihan tunai yang dijana,” ujarnya.
Cadangan pengurangan modal itu dijangka selesai pada separuh pertama 2024, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-10 akan datang.
Pada tahun kewangan sebelumnya, EcoWorld International telah melakukan pengurangan RM1.5 bilion dalam modal saham terbitan pada Ogos 2023.
Selepas itu, Kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak RM792 juta mewakili 33 sen sesaham dan dividen akhir RM144 juta mewakili enam sen sesaham masing-masing pada Ogos dan Disember 2023. – UTUSAN










