PETALING JAYA: Bursa Malaysia memulakan dagangan minggu ini dalam mod berhati-hati, apabila indeks penanda aras tidak banyak berubah pada awal dagangan hari ini.
Penanda aras FBM KLCI susut 0.06 peratus atau 0.96 mata kepada 1,548.15, memetik laporan The Edge.
Menurut laporan itu, kaunter yang mencatatkan penurunan awal termasuk Malaysian Pacific Industries Bhd., MI Technovation Bhd., SAM Engineering & Equipment Bhd., Vitrox Corp Bhd, Sime Darby Plantation Bhd., RCE Capital Bhd., Wellcall Holdings, Axiata Group Bhd. dan Sports Toto Bhd.
Saham yang didagangkan secara aktif pula termasuk Hong Seng Consolidated Bhd., Dagang NeXchange Bhd., YTL Corp Bhd., Velesto Energy Bhd. dan YTL Power International Bhd.
Manakala kaunter yang mencatatkan keuntungan (di awal dagangan) termasuk Ajinomoto (M) Bhd., Telekom Malaysia Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd., Malayan Cement Bhd. dan BIMB Holdings Bhd.
Hong Leong Investment Bank Research berkata, Bursa Malaysia sepatutnya menyaksikan potensi pengambilan untung semasa kemuncak musim keputusan suku keempat tahun kewangan 2023 (4Q TK2023) minggu ini dan dalam keadaan berhati-hati daripada kelemahan mata wang tempatan baru-baru ini.
Menurut firma penyelidikan itu, aliran masuk bersih berterusan oleh pelabur asing (untuk bulan keempat berturut-turut), disokong oleh peningkatan dalam pegangan saham asing kepada 19.6 peratus pada Januari (berbanding paras terendah sepanjang masa sebanyak 19.5 peratus pada Disember 2023).
“Selain itu, aliran masuk bersih asing tahun sehingga kini yang berjumlah RM2.31 bilion (perubahan daripada -RM2.6 bilion pada 2023) boleh mengurangkan risiko penurunan (sokongan: 1,522 hingga 1,533; rintangan: 1,570-1,580-1,600),” katanya.
Sementara itu, Reuters melaporkan, saham-saham Asia `berehat’ menghampiri paras tertinggi tujuh bulan pada hari ini kerana pelabur menunggu data inflasi daripada AS, Jepun dan Eropah yang akan membantu memperhalusi jangkaan untuk pergerakan kadar masa depan.
Ukuran inflasi yang digemari oleh Rizab Persekutuan iaitu indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) teras, dijangka (dilaporkan) pada Khamis dan ramalan adalah kenaikan 0.4 peratus, katanya. – UTUSAN










