Bina 2,000 rumah mampu milik penuhi permintaan

Bina 2,000 rumah mampu milik penuhi permintaan

SEKTOR hartanah kekal positif tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN rumah mampu milik terus menjadi sebahagian daripada usaha Paramount Corporation Berhad untuk menawarkan pemilikan rumah bagi negara ini.

Pemaju hartanah tersebut mengunjurkan untuk membangunkan 2,000 rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, kediaman mampu milik tersebut akan dibangunkan pada harga kira-kira RM250,000 seunit.

Katanya, pihaknya sudah membina banyak rumah mampu milik di Selangor sahaja iaitu lebih 1,300 unit sehingga kini.

“Rumah mampu milik ini akan dibangunkan berdasarkan permintaan dalam pasaran. Ini kerana, kami tidak mahu membina rumah di sesebuah lokasi tetapi tidak mendapat permintaan.

“Jika membina di sesebuah kawasan yang mana orang tidak mahu tinggal akan mendatangkan keburukan kepada komuniti kerana kami tidak menjual unit di situ.

“Bayangkan, kalau hanya ada 40 peratus sahaja penghuni dalam bangunan itu. Siapakah yang akan membayar yuran penyelenggaraan. Ini seterusnya akan mendorong kepada fasiliti berada dalam keadaan tidak baik kepada penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

JEFFREY CHEW SUN TEONG

Beliau berkongsi bahawa pihaknya mengalami kesukaran untuk mendapatkan nama untuk tempahan pembeli bagi rumah mampu milik yang ingin dibangunkan Paramount di Sepang.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya akan melibatkan lebih banyak pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Kami mahu bina lebih banyak kediaman mampu milik, tetapi untuk membangunkan di lokasi yang tidak ada pengangkutan awam bukanlah sesuatu yang baik kepada mereka.

“Kerajaan harus lebih fleksibel. Mungkin di sesebuah kawasan itu boleh kurangkan pembinaannya atau tidak perlu bina. Ubah suai mengikut kesesuaian,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) untuk menambah baik proses pembelian rumah mampu milik di bawah skim yang ditawarkan di setiap negeri.

“Kerajaan perlu melihat polisi yang ada kerana tidak sepatutnya membenarkan individu membeli beberapa rumah mampu milik di negeri yang berbeza.

“Kenapa? Kerana ini adalah mengaut keuntungan daripada rumah mampu milik. Saya amat menyokong pembinaan rumah mampu milik tetapi ia harus bersasar.

“Bila boleh beli rumah (mampu milik) satu di Lembah Klang dan satu lagi di Pulau Pinang, jadi ramai yang akan mengambil kesempatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya