KEPUTUSAN Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah akan membawa kepada kestabilan pergerakan ringgit berbanding dolar AS, kata penganalisis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengukuhan ringgit akan mengambil masa kerana pada masa ini, dolar AS masih tidak stabil.
“Namun, keputusan Fed itu tidak akan memberi impak positif yang ketara kepada Bursa Malaysia kerana pelabur antarabangsa melihat kepada potensi pulangan atas pelaburan mereka melalui syarikat tempatan, berbanding kepada keputusan Fed.
“Saya berpendapat Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dikekalkan kerana kadar faedah AS masih lagi tinggi dari OPR. Jika OPR diturunkan, ini akan menyebabkan pelaburan di Malaysia tidak menarik berbanding di AS,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan Fed bermakna aliran wang pasaran modal akan dikekalkan di bon perbendaharaan AS.
Beliau berkata, ini bermakna mata wang dolar AS akan kekal kukuh dalam masa terdekat ini.
“Justeru, tidak banyak perubahan dan kesan kepada ringgit mahupun Bursa Malaysia berikutan pengumuman Fed.
“Bagaimanapun Fed membayangkan tidak akan menaikkan lagi kadar faedahnya yang berada pada 5.25 peratus sehingga kadar inflasi AS berjaya mencapai sasaran 2.0 peratus.
“Ini memberikan reaksi positif untuk jangka masa sederhana iaitu kemungkinan kadar faedah akan dipotong juga,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengunjurkan OPR dikekalkan pada 3.0 peratus sepanjang 2024.
“OPR mungkin diturunkan sekiranya ekonomi global meleset dan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menambahkan kecairan tunai pada kadar rendah ini bagi menjana ekonomi domestik.
“Ini dalam usaha mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 ke 5.5 peratus yang disasarkan kerajaan,” jelasnya.
Fed AS memilih untuk mengekalkan kadar faedah pada julat 5.25 peratus hingga 5.50 peratus pada mesyuarat jawatankuasa penetapan dasarnya pada Rabu.
Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata, data inflasi akan datang akan menentukan pergerakan kadar faedah dan seawal mana tempoh pemotongan kadar akan dilaksanakan.-UTUSAN










