SEREMBAN: Bagi menyokong pelbagai projek pembangunan dan pembinaan di Negeri Sembilan, Cement Industries Malaysia Berhad (CIMA) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Unipati Concrete Sdn. Bhd. (UPC) telah melancarkan kilang bancuh konkrit kelima terletak di Sendayan di sini.
Kilang yang beroperasi sejak Ogos tahun lalu, sekaligus meningkatkan pengeluaran konkrit tahunan UPC kepada 933,000 meter kubik (m).
Pengerusi CIMA, Datuk Zaiviji Ismail berkata, kilang bancuh konkrit terbaharu itu merupakan manifestasi komitmen Syarikat untuk meluaskan operasi perniagaan di Negeri Sembilan yang telah bermula pada 1994.
Jelasnya, sepanjang tiga dekad lalu, CIMA telah melabur hampir RM2 bilion bagi membangunkan operasi bersepadu di negeri ini merangkumi perolehan bahan mentah sehingga pengeluaran produk konkrit dan simen serta penyelesaian yang dirangka khusus bagi projek tertentu.
“Kilang simen CIMA di Bahau telah mencipta 600 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung di negeri ini.
“Dengan pelancaran kilang bancuh konkrit baharu ini, ia bukan sahaja sebahagian daripada pembesaran operasi UPC tetapi merupakan tekad CIMA untuk terus menerajui industri pembinaan Malaysia yang kian berkembang.
“UPC merupakan salah satu penyumbang pendapatan CIMA dan kami komited untuk terus mempelopori pengeluaran penyelesaian konkrit siap bancuh inovatif dan lebih hijau selari dengan inisiatif pembangunan lestari syarikat.
“Kami bersedia untuk meluaskan kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi-agensinya bagi menerapkan amalan kelestarian yang lebih meluas di Negeri Sembilan sekaligus menyumbang ke arah mengurangkan kadar pelepasan karbon negara,” katanya pada majlis pelancaran kilang tersebut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. – UTUSAN










