TH tawar hadiah pakej umrah, wang tunai 

TH tawar hadiah pakej umrah, wang tunai 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan hadiah pakej umrah dan wang tunai untuk dimenangi pendeposit menerusi pelbagai program menarik yang dianjurkan sepanjang 2024.

Pendeposit TH berpeluang menjadi pemenang menerusi lima program utama yang akan dijalankan sepanjang tahun iaitu ‘Al-Falah’, ‘Carum & Simpan’, ‘Bijaknya Menabung, ‘Terpaling’ Sayang dan ‘Auto Simpan@THiJARI’.

TH dalam kenyataan memaklumkan, menerusi program Al-Falah, Bijaknya Menabung dan Carum & Simpan, pendeposit hanya perlu menambah simpanan di akaun TH tanpa melakukan transaksi pengeluaran untuk penyertaan.

“Program Al-Falah terbuka kepada semua pendeposit berumur 18 tahun ke atas dengan tambahan simpanan serendah RM100.

“Pemenang akan dipilih melalui empat siri cabutan sukuan dan dua siri cabutan utama dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM300,000. TH terus menggalakkan pendeposit sama ada dalam sektor awam dan sektor swasta untuk mencarum di insitusi tersebut secara bulanan untuk tujuan menunaikan ibadat haji,” katanya dalam kenyataan.

Menurut TH, dengan caruman bulanan serendah RM100, pendeposit berpeluang menyertai program Carum & Simpan yang menawarkan pakej umrah dan pelbagai hadiah lumayan.

“Dua siri cabutan akan dilaksanakan untuk mencari pemenang utama mengikut kategori sektor awam dan swasta,” katanya.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan kesedaran tabungan haji dalam kalangan ibu bapa terhadap anak mereka, TH juga telah merangka pelbagai program khusus untuk pendeposit muda berumur 17 tahun ke bawah antaranya, program ‘Bijaknya Menabung’ di mana pendeposit juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

“Selain itu, terdapat juga program ‘Terpaling’ Sayang yang akan memilih pemenang bertuah setiap sukuan daripada pendeposit yang mendaftar TH Khairat manakala, program Auto Simpan@THiJARI pula terbuka kepada semua pendeposit yang membuat transaksi pindahan simpanan ke akaun TH secara dalam talian,” katanya.

TH menjelaskan, pihaknya akan meneruskan program Kelab TaHa yang akan menganjurkan pelbagai aktiviti kepada pelajar antaranya pertandingan Musabaqah Kelab TaHa dan kejohanan Futsal TaHa Bestari yang menawarkan hadiah RM1,000 kepada johan bagi setiap pertandingan tersebut.

Jelas TH, ini merupakan usaha TH untuk mendekati generasi muda menerusi aktiviti yang memberi manfaat serta membentuk modal insan yang cemerlang secara holistik.

“TH akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendeposit TH dengan pelbagai program dan aktiviti menarik yang telah diatur sepanjang tahun untuk menghargai pendeposit yang terus setia menyimpan di TH.

“Peluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan menjadi nilai tambah kepada pendeposit selain simpanan yang patuh syariah, ditunaikan zakat dan dijamin kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×