PETALING JAYA: Sunway REIT Management Sdn. Bhd., pengurus Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mengumumkan telah memperoleh pusat beli-belah 163 Retail Park di Mont Kiara, Kuala Lumpur, dengan nilai RM215 juta.
Dalam satu kenyataan, Sunway REIT berkata, pemegang amanah REIT telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan D’Kiara Place Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh YNH Property Bhd., untuk membeli pusat beli-belah tujuh tingkat itu.
Sunway REIT menjelaskan, pusat beli-belah itu, yang merupakan komponen tengah pembangunan bersepadu bercampur dikenali sebagai Kiara 163, mempunyai keluasan lantai kasar kira-kira 76,146 meter persegi dengan keluasan bersih yang boleh disewakan kira-kira 23,740 meter persegi dan 1,085 ruang tempat letak kereta.
Ketika ini, hartanah tersebut 94 peratus diduduki dengan lebih 100 penyewa termasuk Jaya Grocer.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Sunway REIT, Clement Chan berkata, pihaknya gembira kerana berpeluang memperoleh apa yang dirasakan sebagai aset runcit terbaik di kawasan kejiranan Mont’ Kiara.
“Walaupun persaingan dalam industri peruncitan di Lembah Klang semakin meningkat, kami percaya 163 Retail Park memenuhi keperluan setiap hari bagi pasaran khusus dan pendapatannya akan berdaya tahan serta kurang terjejas oleh pembukaan pusat beli-belah baharu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Syarikat menjangkakan hasil awal pendapatan bersih sebanyak 6.5 peratus daripada hartanah tersebut kepada portfolio Sunway REIT.
Jelas beliau, ia dikelilingi oleh populasi yang besar terdiri daripada penduduk tempatan dan ekspatriat.
“Kami percaya pusat beli-belah ini boleh dipertingkatkan lagi sebagai hab gaya hidup premium dan NPI meningkat melalui pengoptimuman campuran penyewa dan inisiatif peningkatan aset,” katanya.
Menurut Chan, cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya oleh kemudahan hutang sedia ada Sunway REIT dan dijangka selesai pada suku kedua 2024, tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu perjanjian jual beli. – UTUSAN










