PETALING JAYA: Sambal Rindu keluaran Far Cekap Enterprise (FAR) diperkukuhkan dengan sijil halal dan telah berjaya memasuki hampir 500 stesen Mesra Petronas di seluruh Malaysia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas FAR, Mohd. Yusoff Fauzi Ahmad Labib berkata, produknya perlu mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melangkah jauh.
Jelas beliau, sijil halal itu seperti ‘tiket’ untuk menembusi ke pasaran tempatan yang lebih luas, terutama untuk dipasarkan di Petronas dan pasar raya.
“Sebagai syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS), memohon sijil halal ada cabaran awal tentunya dari segi kos untuk memenuhi piawaian halal dari segi keadaan kilang dan dokumentasi.
“Bagaimanapun, ia hanya rumit di permulaan, namun amat membantu bagi menjadikan pengurusan dan kilang dalam keadaan yang baik dan tersusun untuk produk kami diproses,” katanya ketika dihubungi.
Menurut bekas graduan diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Entrepreneur Development Institute Kuala Lumpur itu, FAR terlibat dengan perniagaan makanan iaitu mengilang dan memasarkan produk jenama Sambal Rindu.
“Selain produk Sambal Rindu dalam tiga varian rasa (pedas,sederhana pedas dan sangat pedas), kami juga mempunyai Sambal Kasih Nasi Lemak dalam botol dan pek ekonomi serta produk Daging Masak Hitam yang sedia untuk dimakan,” katanya.
Bagi Yusoff, sijil halal yang diperoleh pada 2019 itu telah membuatkan masyarakat semakin yakin dengan produk Sambal Rindu yang dihasilkan dan mudah dipasarkan tanpa ragu.
Beliau menambah, FAR telah berjaya mencapai jualan sebanyak RM1.3 juta dalam tempoh 12 bulan bermula Oktober 2022 hingga September 2023 lalu di bawah Program Kelab Usahawan 1 Juta (KKDW) .
Dalam pada itu, Yusoff berkata, FAR dalam perancangan untuk mengintai pasaran luar negara selepas memantapkan jualan di atas talian dan pasaran dalam negara.-UTUSAN










