RHB Islamic, YPM sasar RM1 juta untuk pemerkasaan pendidikan

RHB Islamic, YPM sasar RM1 juta untuk pemerkasaan pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Islamic Bank menyasarkan untuk menaja sehingga RM1 juta program-program Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di bawah `B40 Education Empowerment Programme (BEEP)’ bagi tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025.

Menurut RHB Islamic Bank, penajaan adalah dari dana zakat wakalah.

Program BEEP adalah kerjasama antara RHB Islamic dan YPM, untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar dalam kategori B40 mendapatkan akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik melalui program yang disediakan di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.

“Kerjasama ini juga akan memanfaatkan seramai lebih daripada 2,500 pelajar dari segmen B40 bagi membantu para pelajar dalam bidang pelajaran untuk mencapai kecemerlangan menerusi program-program yang dilaksanakan dibawah Program BEEP hasil kerjasama YPM dan RHB Islamic Bank,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali berkata, program-program kendalian YPM itu adalah satu usaha murni dan berimpak tinggi.

“Oleh sebab itu, kami di RHB Islamic Bank mengalu-alukan hubungan strategik bersama YPM dalam usaha memperhebat aspek pendidikan dan pelajaran untuk manfaat para pelajar dari segmen B40 dan asnaf.

“Program ini juga selari dengan agenda Sosial Harmoni oleh RHB Islamic Bank. Kami percaya pendidikan merupakan aset bernilai yang dapat mengubah masa hadapan mereka dan berharap agar usaha ini dapat memberi kesan positif dalam jangka masa panjang bagi meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga,” kata beliau.

Terdahulu, beliau telah menyerahkan replika cek berjumlah RM1 juta kepada Ketua Pegawai EKsekutif YPM, Faisalludin Mohamat Yusuff sewaktu mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyaraf Wajdi Dusuki, Jumaat lalu.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berharap jalinan kerjasama itu dapat diperkukuhkan lagi dengan pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi kerajaan dan badan korporat bagi bersama-sama ke arah meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa terutamanya di kawasan luar bandar.

“Bila kami turun ke lapangan, kami lihat anak-anak di luar bandar ini mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya. Kesukaran hidup menjadi perangsang untuk mereka lebih memajukan diri dan mengubah nasib keluarga. Prospek seperti inilah yang perlu kita garap agar menjadi insan yang berguna untuk keluarga, bangsa dan negara,” katanya.

Antara program-program BEEP yang telah dilaksanakan pada 2023 ialah Program Tuisyen Pintar YPM@KKDW-RHB Islamic Bank melibatkan 300 pelajar; Seminar Motivasi dan Teknik Menjawab Soalan SPM babitkan lebih 1,000 pelajar; Program Selangkah ke Universiti dan Skim Anak Angkat YPM-RHB Islamic. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN