PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melancarkan MyPLUS-TTA sebuah aplikasi digital oleh untuk para pengguna lebuhraya merancang perjalanan semasa musim perayaan.
MyPLUS-TTA membantu mengoptimumkan pengagihan trafik bagi mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna.
Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif MyPLUS-TTA menunjukkan kepentingan integrasi teknologi di dalam pengurusan lebuhraya negara.
“Inisiatif ini bukan sekadar akan memanfaatkan pengguna-pengguna lebuhraya, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian infrastruktur lebuhraya negara dengan mengagihkan trafik pada musim perayaan, meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna serta mengurangkan risiko kesesakan,” katanya dalam kenyataan semasa melancarkan aplikasi itu.
Menurut beliau, ia membuktikan usaha dan komitmen berterusan PLUS dalam menambah baik mutu perkhidmatan lebuhraya kendaliannya, selain daripada menyokong aspirasi pendigitalan kerajaan.
Dalam pada itu, Alexander turut mengumumkan bahawa MyPLUS TTA akan diintegrasikan ke dalam Aplikasi MyJalan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).
“KKR bercadang untuk mengintegrasikan MyPLUS TTA di dalam Aplikasi MyJalan pada setiap musim-musim perayaan yang akan datang bagi memudahkan rakyat untuk mengakses serta merancang perjalanan mereka dengan lebih,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, MyPLUS-TTA merupakan antara inisiatif di bawah rangka strategi jangka panjang ke arah Lebuh Raya Pintar untuk mempercekapkan operasi dan perkhidmatan lebuh raya PLUS dan memberi lebih kemudahan serta keselesaan kepada pengguna.
“MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS berperanan mengubah cara pengguna lebuhraya berinteraksi dengan perjalanan mereka dengan menggunakan data dan trend perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu,” katanya.
Beliau menambah, pengurusan trafik yang lebih efisien menerusi Aplikasi MyPLUS-TTA juga dapat mengurangkan pencemaran udara selaras dengan komitmen kelestarian PLUS serta mendokong Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2030. – UTUSAN










