APABILA mencari rumah pertama atau rumah idaman, kebanyakan kita akan menggunakan ejen hartanah.
Jelas, ejen hartanah ini seperti pemudah cara proses jual beli, merekalah yang bagi nasihat dan khidmat terbaik.
Bagaimanapun, timbul juga pelbagai kisah tak enak tentang ejen hartanah ini seperti menipu.
Di sini RINGGIT kongsikan panduan untuk membeli rumah tanpa menggunakan ejen.
* Buat kajian sendiri
Beli rumah tanpa ejen bermaksud, anda perlu tahu dan perlu membuat kajian sendiri.
Sediakan maklumat lengkap hartanah yang hendak dibeli antaranya keluasan hartanah, kos renovasi, keadaan hartanah, dan jenis geran hartanah yang bakal dibeli.
* Bayar deposit terus ke akaun pemilik lebih mudah
Sebagai pembeli, apabila anda membuat keputusan nak membeli rumah, anda perlu menyediakan booking fee sebanyak tiga peratus dari harga rumah yang anda mahukan.
Ada pembeli yang salah anggap booking fee tiga peratus ini perlu dibayar mereka.
Tiga peratus itu sebenarnya sudah termasuk dalam 10 peratus yang dibayar, ia adalah yuran profesional menggunakan khidmat ejen hartanah.
* Dokumen mohon pinjaman perumahan dan khidmat peguam
Proses ini biasanya mengambil masa dan sebagai pembeli anda perlu menyediakan pelbagai dokumen bagi proses pembiayaan pinjaman.
Antara dokumen diperlukan adalah salinan Perjanjian Jual Beli (SPA) asal pemilik, salinan geran asal pemilik, salinan cukai tanah dan pintu, salinan kad pengenalan, minimum tiga bulan slip gaji terkini, penyata KWSP terkini, booking form, penyata bank dan beberapa dokumen sokongan yang lain.
Tanpa ejen, anda perlu dapatkan semua dokumen ini sendiri dari pihak pemilik dan menyerahkannya kepada setiap bank yang anda mohon pinjaman perumahan.
* Buat Tawaran
Sekiranya anda berminat dengan rumah yang telah dilihat, anda boleh buat penawaran kepada pemilik.
Anda boleh bincang untuk mengurangkan harga atau minta harga yang munasabah.
Pastikan anda menetapkan harga yang munasabah berdasarkan pasaran hartanah semasa dan keadaan rumah.
* Ambil kunci rumah
Semasa proses ini, peguam akan memanggil pihak penjual dan pembeli untuk serahan baki 90 peratus pembiayaan perumahan dan juga kunci rumah.
Dalam proses ini juga pihak peguam akan menjelaskan geran dan status rumah yang bakal anda beli sudah pun ditukar milik dan dokumen diserahkan kepada pemilik baharu.
Sekiranya anda melakukan urusan tanpa khidmat ejen hartanah, urusan susulan setiap proses perlu anda lakukan sendiri dengan pihak peguam. – UTUSAN










