MEMASUKI tahun 2024, pangsapuri servis mula menjadi popular terutama bagi pasangan muda yang baru berkahwin dan golongan profesional terutama di Lembah Klang.
Lebih-lebih lagi apabila membeli pangsapuri ini tidak perlu memikirkan kos bagi membeli perabot dan susun atur kediaman.
Kebiasaannya pangsapuri servis adalah unit berperabot lengkap, dengan menyediakan servis pengemasan berkala, malah berdekatan dengan kemudahan lain seperti pasar raya.
Dari segi sewaan, selalunya ia lebih berpatutan daripada bilik hotel, terutamanya jika anda merancang untuk tinggal lebih lama.
Berikut panduan bagi golongan muda yang berminat membeli pangsapuri perkhidmatan.
Status tanah
Pangsapuri servis dibina di atas tanah yang didaftarkan untuk kegunaan komersial, dan beroperasi seperti hotel.
Ia biasanya mempunyai pemilik tunggal yang memiliki kesemua unit dalam satu-satu bangunan.
Harga
Memandangkan pangsapuri servis terletak di atas tanah komersial, pemilik perlu membelanjakan jumlah yang lebih tinggi untuk kos seperti cukai tanah, bayaran elektrik dan air, serta bayaran penyelenggaraan bulanan.
Persekitaran yang mudah diakses
Kebanyakan pangsapuri servis hanya ada beberapa unit dan memenuhi keperluan penginapan jangka pendek dan juga jangka panjang.
Kebiasaannya ia berada di atas atau berdekatan pusat membeli-belah.
Beli untuk pelaburan
Ramai pembeli yang membeli pangsapuri servis untuk tujuan pelaburan.
Kemungkinan kawasan sekitar berdekatan dengan pusat beli-belah terkemuka dan boleh dijadikan sebagai satu aset untuk masa depan.
Pembeli tempoh terhad
Ada yang berpendapat pangsapuri servis ini dibeli oleh golongan profesional yang bertugas di satu-satu tempat.
Oleh itu, mereka akan mendiami pangsapuri servis ini pada tempoh terhad.
Lengkap kemudahan
Seperti pangsapuri lain, pangsapuri jenis servis ini turut dilengkapi kemudahan lain seperti kolam renang, bilik gim dan sebagainya.-UTUSAN










