PETALING JAYA: Pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan mereka, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, keputusan itu tepat kerana selaras dengan Indeks Harga Pengeluar (PPI) yang menunjukkan kadar inflasi semakin terkawal dan kesan kenaikan kos kepada PMKS turut semakin reda.
Menurut beliau, OPR boleh diturunkan sebanyak 25 atau 50 mata asas untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam sektor pembinaan, pengeluaran dan peruncitan.
“OPR ini lebih kepada pinjaman dan pembayaran balik kepada bank. Jadi, PMKS yang mempunyai pinjaman dengan bank, bayaran baliknya akan kekal dan akan memberikan impak positif kepada mereka,” katanya.
William berkata, OPR yang stabil membolehkan PMKS untuk menetapkan hala tuju perniagaan dengan lebih baik.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, DPMM menyokong keputusan BBM mengekalkan OPR pada aras 3.00 peratus.
Jelas Norsyahrin, pengekalan OPR itu sangat membantu PMKS dalam mengurangkan kos perniagaan mereka, terutama kepada peniaga yang mengimport barang dari luar negara, menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan jual semula di Malaysia atau digunakan sebagai kos barangan yang dijual di dalam pengeluaran.
“Kos akan meningkat dan peniaga tidak mendapat keuntungan,” ujarnya.-UTUSAN








