PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengkaji semula sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, terdapat hampir 1,500 stesen pengecas EV yang beroperasi dan jumlah masih rendah daripada sasaran awal yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.
Katanya, beliau bersama Kabinet akan melihat semula sama ada sasaran itu boleh dicapai atau sebaliknya.
“Nampaknya agak agresif kerana ada banyak isu yang kita tangani dari segi kelulusan. Inilah satu daripada cabaran kerana banyak agensi yang terlibat termasuk Suruhanjaya Tenaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dan pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran pelan langganan pascabayar pemilikan motosikal elektrik pertama di Malaysia dengan kerjasama penyedia kenderaan elektrik RydeEV! di sini hari ini.
Menurutnya, prosedur stesen pengecasan perlu diperkemaskan kerana terdapat aduan syarikat-syarikat penyedia stesen pengecasan.
“Kelulusan mengambil masa yang lama. Jadi, saya dan rakan Kabinet akan memperhalusi cabaran yang telah disebut bersama pemain industri yang turut mengemukakan cadangan untuk memendekkan proses kelulusan stesen pengecasan ini,” katanya.
Melalui kerjasama antara Pusat Inovasi CelcomDigi dan Yinson GreenTech, unit perniagaan teknologi hijau Yinson Holdings Berhad (Yinson), pelanggan boleh memajak untuk miliki (lease-to-own) motosikal elektrik, rydeEV.
Pelanggan hanya perlu mendaftar mana-mana pelan 5G Pascabayar CelcomDigi dengan pelan ansuran Easy360.-UTUSAN