KWSP naik had maksimum i-Saraan kepada RM500

KWSP naik had maksimum i-Saraan kepada RM500 bermula 1 Januari 2024

KWSP melaksanakan beberapa penambahbaikan strategik produk dan polisi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menaikkan had maksimum insentif caruman padanan kerajaan untuk program i-Saraan  daripada RM300 kepada RM500 setahun bermula 1 Januari 2024.

Dana persaraan itu berkata, rakyat Malaysia berumur bawah 60 tahun, berada dalam sektor tidak formal termasuk bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap serta mencarum secara sukarela di bawah program itu akan menerima insentif padanan sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela.

Ini tertakluk kepada had insentif maksimum RM500 setahun.

Katanya, kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Saraan yang mencarum, tertakluk kepada insentif seumur hidup maksimum RM5,000.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan mereka terus menyimpan untuk persaraan dan membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada insentif kerajaan ini.

“Bagi setengah tahun pertama 2023, insentif kerajaan sebanyak RM28 juta telah dikreditkan kepada 211,361 ahli di bawah program i-Saraan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

KWSP berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada beberapa penambahbaikan strategik produk dan polisi yang memberi kesan terhadap memperkukuh masa depan persaraan dan jaminan pendapatan ahlinya.

“Melalui program i-Suri, kerajaan akan memberi insentif caruman padanan sebanyak 50 peratus ke atas setiap RM1 sumbangan sukarela suri rumah yang berumur 55 tahun dan ke bawah, serta berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih, tertakluk kepada had insentif maksimum sebanyak RM300 setahun.

“Kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Suri yang mencarum, tertakluk kepada had insentif seumur hidup maksimum RM3,000,” ujarnya.

Selain itu,  bermula 1 Januari lalu, KWSP telah mengasingkan portfolio simpanan konvensional dan simpanan syariah yang berkaitan dengan pelaburan patuh syariah secara strategik bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang.

Dalam pada itu, KWSP turut melaksanakan penambahbaikan platform i-Invest bagi membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×