KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis ekonomi negara akan terus berkembang sihat dan mampu mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di sebalik pelbagai cabaran di peringkat domestik dan antarabangsa.
Antara pendekatan yang diambil ialah mengurangkan subsidi dan mengubahsuai harga bahan api untuk mengawal inflasi.
“Selain itu, pasaran kerja kami kukuh, disokong oleh prospek perniagaan yang positif, pengangguran yang rendah dan kenaikan gaji benar yang stabil,” katanya pada Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik (GESOF) 2024 di sini, semalam.
Forum tersebut anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik dengan kerjasama Kelab Ekonomi Kuala Lumpur dan Dewan Digital Dunia.
Fadillah berkata, ramai berpandangan tahun ini sebagai satu lagi tempoh yang sukar untuk diramal, disebabkan oleh banyak pergolakan yang berlaku termasuk konflik di Eropah dan Asia Barat.
Bagaimanapun katanya, beliau optimis bahawa negara mampu mengharungi cabaran itu mengambil kira Malaysia adalah sebuah negara yang unik dan telah membuktikan kekuatannya dalam mengharungi cabaran-cabaran yang berlaku, meskipun dianggap sukar oleh sesetengah pihak.
“Tahun lepas, ramai berkata ia tahun yang sukar, tetapi kami berjaya mengelak kemelesetan dan mengurangkan inflasi. Itu memberi saya harapan bahawa tahun ini boleh menjadi baik bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk dunia amnya,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah menyeru sektor swasta dan masyarakat sivil untuk menjalin perkongsian yang kukuh secara kolektif bagi mempercepatkan kemajuan negara dalam menangani perubahan iklim seterusnya mencapai matlamat pembangunan mampan.
“Semasa kita meneruskan perjalanan pada 2024, keperluan untuk kerjasama dalam tindakan iklim lebih mendesak berbanding sebelum ini.
“Perkongsian ini (perkongsian awam-swasta-rakyat) menawarkan platform yang berkuasa untuk inovasi, perkongsian maklumat dan memacu perubahan yang bermakna.
“Dengan bekerjasama dan memanfaatkan kekuatan dan sumber masing-masing, kita boleh mencipta penyelesaian yang berkesan dan berkekalan dalam menangani cabaran alam sekitar yang kita semua hadapi,” jelasnya. – UTUSAN










