Tahun 2023 telah meninggalkan kita dan secara peribadi sebagai penulis segmen permotoran tempatan, saya merasakan perkembangan yang sihat dalam industri tempatan samada dalam dunia dua ataupun empat roda.
Dalam segmen empat roda, antara kategori kenderaan yang saya telah panduji, saya mendapati, kelambakan dalam pasaran jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) telah menjadi sesuatu yang bukan lagi asing.
Kenderaan SUV bukan lagi menjadi kenderaan golongan ‘kayangan’ malah, ianya sudah mula dimilikki oleh golongan pertengahan akibat daripada penyertaan daripada Proton dan
Perodua yang memasarkan varian-varian mereka pada harga mampu milik.
Atas sebab itu, saya mengumpulkan lima jenama SUV yang telah saya pandu uji dan menjadikannya sebagai antara jenama kegemaran berbanding dengan yang lain.
Saya dibekalkan dengan unit dengan skim warna biru muda yang agak unik. Selain daripada warnanya yang agak menyerlah, saya menggemari bentuknya yang lebih sporty, lebih kompak, dan tidak ketinggalan penampilan eksekutif pada bahagian dalaman kabin kenderaan ini. Audi Q3 ini antara kenderaan kontinental yang saya begitu menyukai rekabentuk luarannya dan boleh duduk serta memerhatikannya selama berjam-jam.
Ini mungkin kerana rekaan SUV ini secara imbas menyerupai reka bentuk sebuah kereta ‘coupe’ atau kereta sports dua pintu. Kecerunan ruang bumbung belakangnya dan dipadankan dengan roda 19 inci memberikan imej ini kepada saya.
Papan pemuka Audi Q3 ini juga memberikan anda satu sifat ‘kemewahan’ dengan kokpit yang moden dan canggih. Sistem infotainmen yang menggunakan skrin sesentuh 10.25 inci yang membolehkan anda memadankan alat peranti anda samada menggunakan Android Auto atau Apple Carplay.
BMW iX DRIVE 40 SPORT
Saya memasukkan SUV ini dalam senarai SUV kegemaran saya kerana ia adalah merupakan SUV pertama jenis elektrik sepenuhnya yang saya pernah pandu uji.
Selain daripada ketidakupayaan saya untuk menidakkan perasaan gementar dan asyik menjeling pada baki kuasa bateri di meter (range anxiety), saya tidak dapat mengelak daripada menyukai kuasa tujahan SUV ini.
Saiznya yang besar, sehinggakan saya merasakan seolah-olah memandu sebuah Van, tetapi mengetahui bahawa saya sedang memandu sebuah jenama Jerman yang gah.
Mana tidaknya, mengetahui bahawa ianya berharga sekitar RM407,430, tidak hairanlah prestasi pecutan kenderaan elektrik ini saya rasakan terlalu hebat berbandingkan saiz fizikalnya.
Tidak perlulah saya lanjutkan lagi tentang fakta rekaan dalaman kabinnya atau pun sistem bantuan pemanduan elektronik yang dibekalkan. Mungkin memang anda butang yang membolehkan SUV ini memandu sendiri untuk pulang ke rumah tanpa penglibatan pemandunya.
Jika BMW iX Drive 40 Sports ini ada dalam tangan saya untuk tempoh masa yang lebih lama, mungkin saya jumpa butang tersebut….
PROTON X50
Saya juga ingin menyatakan dalam artikel ini bahawa, antara SUV edaran Proton, X50 adalah kegemaran saya. Mungkin X50 jauh lebih kecil ruangan kabinnya berbanding X70 dan X90. Namun edisi sport untuk SUV keluaran Proton ini bagi saya memberikan prestasi yang jauh lebih baik daripada kedua-dua SUV Proton yang saya sebutkan tadi.
Sama ada dari segi prestasi enjin, atau prestasi pengendalian, saya merasakan bahawa X50 ini lebih baik hasil daripada uji pandu yang telah saya lakukan. X70 sebagai ‘abang sulung’ barisan SUV Proton, memperkenalkan sistem “Hi Proton!” yang sekali gus memberikan impak yang besar terhadap teknologi yang digunapakai oleh Proton.
Hanya memerlukan anda menggunakan arahan suara, anda mampu untuk melakukan beberapa tindakan seperti membuka tingkap/bumbung, radio, sistem navigasi dan sebagainya.
Sementara X90 memberikan satu perasaan ‘mewah’ dalam kabin varian “flagship” terutama dengan “Captain’s Seat” pada kerusi di barisan kedua. Begitupun, dengan kelebihan ruang besar ini pun tidak dapat menandingi keupayaan X50 dalam segi pemanduan. Sistem suspensi, kuasa enjinnya yang amat sesuai dipadankan dengan saiz dan beratnya, serta sistem bantuan pemanduan elektronik, dipadankan dengan reka bentuknya menjadikan X50 adalah satu pakej SUV yang terbaik pernah dihasilkan Proton.
TOYOTA CROSS GR SPORT
Model ini pula menjadi pilihan kedua paling saya gemari dan jika ingin dinyatakan lebih teliti kenapa ianya berada dalam tangga kedua dalam senarai saya hanya kerana harga jualannya yang lebih tinggi daripada Proton X50.
Totota Cross adalah satu-satunya SUV yang tidak menampilkan imej sebuah kenderaan tinggi. Ia lebih mudah untuk dinaiki terutama oleh wanita, yang tidak memerlukan anda terpaksa ‘memanjat’ untuk memasuki kabin. Apabila ditambah pula label “GR” iaitu logo perlumbaan yang berkait dengan TOYOTA iaitu Gazoo Racing, menyebabkan anda menginginkannya.
Logo GR ini menjanjikan bahawa kenderaan ini memiliki sistem suspensi yang lebih baik, prestasi pemecutan yang lebih berkuasa, disamping beberapa penambahan eksklusif yang hanya boleh didapati pada varian GR sahaja. Siapa sangka, rekaan sports boleh dipadankan pada SUV.
VOLVO C40
Satu lagi SUV elektrik sepenuhnya yang juga mempunyai tempat yang istimewa dalam senarai kegemaran saya ini. Bagi saya, terdapat persamaan Volvo C40 ini dengan Proton X50 iaitu, kedua-duanya adalah SUV jenis kompak.
Akan tetapi C40 ini mendahului dari segi rekabentuk yang paling terkini, terutama bahagian dalamannya yang bukan sahaja mempamerkan teknologi terkini kenderaan EV Eropah, tetapi juga reka bentuknya yang secara kasarnya ‘luar kotak’ dan direka dengan imaginasi pereka yang begitu tinggi. Ia hanya menggunakan fabrik dan bukannya kulit seperti kebanyakan kenderaan SUV mewah/baru, akan tetapi fabrik dan rekaan yang dipilih ternyata bukan seperti yang lazim diamalkan oleh pembuat kereta.
Sekiranya C40 ini dihasilkan dengan teknologi HYBRID iaitu teknologi yang menggunakan kedua-dua jenis bahan kuasa seperti petrol dan juga elektrik, saya yakin Volvo C40 ini menjadi pilihan setiap eksekutif muda serata dunia. Namun dengan peningkatan infrastruktur pengecasan kenderaan EV dalam negara, saya juga yakin bahawa C40 ini bakal menjadi antara kenderaan dominan di atas jalan raya tempatan.-UTUSAN










