Harga, fasiliti dan dekat faktor tarikan pembeli

Harga, fasiliti dan dekat faktor tarikan pembeli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAJU menjangkakan kediaman jenis apartmen, pangsapuri servis, kondominium serta teres dua tingkat menjadi rebutan pembeli pada tahun ini.

Ia berikutan harga yang ditawarkan mampu milik serta dilengkapi kemudahan terma­suk pengangkutan awam.

LIM HOCK SAN

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, secara konsistennya kediaman jenis apartmen telah memberikan hasil jualan tertinggi kepada LBS sepanjang tahun lalu dengan purata lebih daripada 80 peratus kepada hasil jualan.

“Pada 2022, Lembah Klang telah menyumbang kepada 90 peratus hasil jualan. Antara lokasi hartanah dan harga mampu milik menjadi pilihan pembeli hartanah LBS, Sebagai contoh, Idaman BSP, Idaman Sari, Idaman Cahaya 1, Idaman Cahaya 2 telah habis dijual, dan bagi Idaman Melur telah 77 peratus unit telah dijual.

“Ini berikutan harganya yang mampu milik iaitu RM250,000 dengan 1,000 kaki persegi, dilengkapi dengan perabot yang diberikan secara percuma dan disertakan dengan dua tempat letak kenderaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pada 2023, LBS memaklumkan, Lembah Klang mencapai populariti yang tinggi sebagai lokasi yang mendapat sambutan baik dan LBS telah mencatatkan hasil jualan tertinggi sepanjang tahun, mencapai purata seba­nyak 88 peratus.

“LBS telah berjaya melancarkan 4,358-unit bernilai RM1.67 bilion pada 2023. Jualan unit merangkumi pelbagai projek pembangunan, seperti pangsapuri perbandaran KITA@Cybersouth, rumah teres Astella di D’Island Residence, Puchong, dan LBS Prestige Residence di Seri Kembangan,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 36 peratus daripada harga hartanah dijual melebihi RM500,000, manakala 64 peratus daripada harga hartanah dijual di bawah RM500,000.

LBS akan meneruskan prospek dan fokus melalui tiga teras utama iaitu mampu milik, ke­tersambungan dan komuniti, de­ngan jangkaan landskap pasaran hartanah yang positif pada 2024.

“Sebagai pemaju yang prihatin terhadap keperluan rakyat, LBS turut mengintai beberapa peluang dan berusaha untuk melancarkan projek hartanah dengan nilai GDV sebanyak RM2.33 bilion di beberapa buah negeri.Peningkatan harga kos mentah, kekurangan tenaga kerja dan keadaan ekonomi global yang tidak stabil sejak 2023 telah memberi impak kepada penjualan hartanah.

“Hal ini mendorong LBS untuk membuat keputusan yang bijak dengan menangguhkan beberapa projek pada 2023. Kadar inflasi yang mencapai 1.5 peratus pada tahun tersebut turut menjadi cabaran tambahan dalam keadaan ekonomi pada awal 2024,” katanya.

Turut berpandangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Rahana Abdullah yang memaklumkan, kondominium dan pangsapuri servis merupakan kediaman yang te­rus mendominasi carta transaksi kediaman.

“Setakat ini, terdapat peningkatan pembelian bagi jenis kediaman yang dijual pada harga sederhana dan mampu milik sekitar 51 peratus membabitkan kediaman berharga antara RM100,000 sehingga RM500,000.

“Jika lihat dari perspektif aktiviti pembinaan, unit kondominium dan pangsapuri juga mendominasi pelancaran baharu bagi sektor kediaman pada tahun 2024,” katanya.

Jelas Rahana, kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar khususnya tempat yang mencatatkan transaksi tiga kawasan iaitu Ampang, Kajang dan Cheras.

“Di samping itu, terdapat kawasan yang mempunyai beberapa faktor yang boleh merancakkan pasaran hartanah seperti infrastruktur, komersial, populasi dan residensi seperti Kampung Kerinchi yang kini dikenali sebagai Bangsar South.

“Mengambil kira harga yang mampu milik dan infrastruktur yang semakin pesat membangun, Kawasan luar bandar juga mula menjadi tumpuan dalam kalangan para pembeli serta para pelabur. Faktor fleksibiliti bekerja menjadi pemacu utama bagi meningkatkan permintaan serta penawaran hartanah khususnya kediaman di luar Kawasan Lembah Klang,” katanya.

KHSB turut merasakan Bukit Cerakah, Puncak Alam juga bakal menjadi lokasi potensi kerana berdekatan laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Serendah ke Port Klang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×