Golongan muda pada era ini mengimpikan untuk memiliki rumah idaman sekaligus menggambarkan golongan ini mempunyai semangat positif untuk memiliki aset sendiri di awal usia bagi pelaburan masa depan.
Namun begitu, hasrat untuk memperoleh rumah sendiri terbantut berikutan harga rumah yang kian menaik dan gaji permulaan tidak mampu untuk melepasi permohonan pinjaman bank.
Tinjauan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia menunjukkan, golongan muda sudah penat untuk menghadapi isu yang sama setiap tahun dan mahu tindakan proaktif daripada pihak kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekerja swasta, Mohamad Ikram Hafizi Khirun Nizam, 27 berkata, beliau merasa kesal kerana tidak dapat membeli rumah walaupun sudah bekerja lebih dua tahun.
“Saya ingin membeli rumah, tetapi dengan gaji yang saya terima dan kos sara hidup sekarang ditambah lagi dengan komitmen yang ada, menyukarkan saya untuk memiliki rumah,” katanya.
Tambah Ikram Hafizi, kerajaan perlu memperkenalkan semula langkah segera yang dapat membantu industri hartanah dan pembeli rumah seperti mewujudkan kembali Kempen Pemilikan Rumah (HOC).
Beliau berkata, kerajaan juga seharusnya membantu mempercepatkan proses kelulusan pembelian rumah tanpa syarat yang begitu rumit untuk golongan muda membuat permohonan.
“Permohonan yang banyak juga melambatkan proses kelulusan orang muda dalam membeli rumah,” katanya.
Tambahnya, beliau ingin kerajaan menaikkan gaji minimum sedia ada sekarang iaitu RM1,500 kerana kos sara hidup terutama di bandar juga kian meningkat.
“Saya rasa tidak logik jika kerajaan menyeru golongan muda untuk membeli rumah, tetapi gaji minimumnya dan kos sara hidup tidak seimbang,” katanya.
Bagi jurutera perkhidmatan, Mohd. Sazwan Faez Mahad, 26, beliau gagal mendapatkan pinjaman penuh rumah disebabkan tidak melepasi syarat gaji dan tergolong dalam kumpulan pekerja bergaji yang tak berkemampuan.
“Kalau pinjaman saya diluluskan pun, saya merasakan gaji yang dibayar masih belum cukup untuk bayaran bulanan yang mungkin separuh dari gaji bulanan saya, ditambah komitmen lain yang perlu diselesaikan,” katanya.
Selain itu, Sazwan Faez berkata, rata-rata skim perumahan sedia ada di khaskan kepada mereka yang berumahtangga.
“Golongan muda sepatutnya diberi perhatian untuk turut mendapat kemudahan skim pinjaman rumah, terutamanya bagi mereka yang baru bekerja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, golongan muda pula tidak memiliki tanah persendirian untuk membina rumah sendiri.
“Harga rumah pun naik, inikan pula membeli sebidang tanah untuk membangun rumah,” katanya.
Dalam pada itu, pereka grafik, Aaron Wong, 25, mencadangkan kerajaan meneruskan program-program memiliki rumah seperti RUMAWIP dan Skim Rumah Pertamaku, bagi membantu golongan muda.
Jelas Aaron, program-program ini sangat membantu golongan muda seperti beliau untuk memiliki rumah dengan harga lebih rendah daripada pasaran.
“Namun, inisiatif lain juga perlu diberikan seperti subsidi bantuan kewangan bagi mereka yang mempunyai tanggungan keluarga seperti ibu, bapa dan adik-beradik,” katanya.-UTUSAN










