PETALING JAYA: Feruni Ceramiche (Feruni) iaitu jenama jubin premium terkemuka menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik bersama pemaju menerusi penawaran faedah eksklusif untuk pelanggan.
Pengarah Urusan Feruni, Datuk C.C. Ngei berkata, MoU itu melibatkan pemaju seperti Bangsar Hill Park, Bon Estates, Majestic Gen Sdn. Bhd. dan Webest dengan tawaran dan manfaat antara kedua-dua pihak terutama pembeli hartanah.
Katanya lagi, dengan kerjasama itu juga, pelbagai ganjaran eksklusif ditawarkan seperti diskaun, rebat dan baucar kepada mereka yang membeli hartanah daripada panel pemaju yang terlibat dalam MoU itu.
“Kerjasama ini dilaksanakan sebagai salah satu teras dan inisiatif terbaru syarikat mengubah senario industri dengan menyediakan kediaman bernilai tinggi dan pembelian yang berbaloi.
“Kolaborasi sinergi ini mencerminkan komitmen kami untuk menunjukkan penghargaan dan sokongan kepada pemaju hartanah yang memilih Feruni sebagai pilihan mereka sebagai rakan kongsi jubin,” katanya.
Mengulas lanjut, Ngei menambah, Feruni komited membuat tawaran terbaik dengan menyediakan jubin premium tanpa sebarang tambahan pelaburan daripada pemaju.
Sebagai contoh katanya, Bangsar Hill Park menawarkan tambahan rebat RM5,000 untuk pembeli hartanah Verdura manakala Bon Estates menawarkan baucar penerbangan Malaysia Airlines bernilai RM5,000 untuk pembeli hartanah Bon Kiara.
“Selain itu, Majestic Gen Sdn. Bhd. menawarkan rebat istimewa RM5,000 untuk pembeli hartanah Majestic Residence manakala Webest menawarkan diskaun dua peratus daripada jumlah harga pembelian satu unit hartanah ‘29 Reserve’.
“Pembeli hartanah juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menakjubkan seperti lawatan untuk dua orang ke Bali, peralatan kediaman dan banyak lagi apabila mereka membeli mana-mana hartanah yang ditawarkan oleh panel pemaju,” jelasnya.-UTUSAN










