PETALING JAYA: Eco World Malaysia melalui anak syarikat penuh miliknya, Eco Botanic 3 Sdn. Bhd. (EB3SB), memperoleh tanah seluas 240.31 ekar di Pulai, Johor daripada River Retreat Sdn Bhd (RRSB) pada harga RM450.13 juta bagi pembangunan perumahan mampu milik.
Kumpulan itu berkata, EB3SB telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan RRSB, anak syarikat Iskandar Investment Berhad (IIB) untuk membangunkan bersama tanah berkenaan. Tanah pegangan bebas itu terletak di Iskandar Malaysia.
Secara berasingan, RRSB turut menandatangani perjanjian pembangunan bersyarat dengan syarikat milik kerajaan negeri, Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT).
Katanya, ia merupakan pengambilan tanah kedua di Iskandar Malaysia oleh Kumpulan itu. Pada September 2023, Kumpulan telah mencadangkan untuk memperoleh 403.78 ekar tanah perindustrian terletak di Kulai, Johor.
Jelasnya, tanah yang diperoleh EB3SB terletak di Iskandar Puteri, bersebelahan Eco Botanic dan Eco Botanic 2, dua daripada perbandaran matang sedia ada EcoWorld di Iskandar Malaysia.
“Tanah itu telah dicadangkan untuk dibangunkan menjadi pembangunan perbandaran kediaman dan komersial bercampur untuk pembeli rumah pertama dan kumpulan M40. Ia akan dikenali sebagai Eco Botanic 3 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.88 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, pembangunan projek amat signifikan untuk golongan sasar mampu memiliki rumah di kawasan bandar Iskandar Puteri yang strategik dan pesat membangun.
Katanya, sinergi antara kerajaan negeri dan swasta adalah penting dalam memastikan kemajuan sektor perumahan di negeri ini sentiasa berdaya saing.
“Terutama bagi penyediaan rumah mampu milik rumah untuk kumpulan M40, yang sepatutnya selesa untuk didiami dan menawarkan kualiti hidup lebih baik untuk rakyat Johor,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah pula berkata, Kumpulan berbesar hati diberi peluang sekali lagi untuk bekerjasama dengan PDT.
Menurut beliau, tanah baharu untuk Eco Botanic 3 adalah kesinambungan projek untuk memenuhi aspirasi kumpulan sasaran M40 dan generasi muda dalam pemilikan hartanah yang dikongsi bersama EcoWorld, PKPJ, PDT dan RRSB.
“Eco Botanic 3 telah distruktur berdasar kejayaan model pembangunan bersama Eco Botanic 2. Ini akan membolehkan projek tidak hanya menawarkan produk mampu milik, tetapi juga bagi pembeli menikmati produk berkualiti,” katanya. – UTUSAN










