PETALING JAYA: BYD Sime Darby Beyond Auto melancarkan BYD ATTO 3 edisi terhad yang menampilkan kit badan eksklusif sempena sambutan ulang tahun pertamanya di Malaysia.
Sime Darby Beyond Auto dalam kenyataan baru-baru ini berkata, versi edisi terhad itu dikeluarkan 500 unit sahaja yang memaparkan skima warna Boulder Grey dan Ski White yang dipilih khas bagi versi Extended BYD ATTO 3.
Jelasnya, wajah baharu menawan itu termasuk lip bampar depan, spoiler depan, panel bampar depan dan penutup cermin sisi, spoiler belakang, difuser belakang, panel tingkap nyahkrom, panel pemijak sisi, dan panel tiang C.
Tambahnya, edisi terhad itu dijual pada harga RM173,800.
“Pilihan promosi termasuk Wallbox percuma, kredit pengecasan, atau pakej perkhidmatan 3 tahun, rebat eksklusif dan peluang untuk melawat ibu pejabat BYD di Shenzhen, China,” katanya.
Kumpulan itu berkata, promosi terpakai kepada model BYD Atto 3 dan BYD DOLPHIN dengan pelbagai pilihan varian untuk setiap pakej promosi tetapi tertakluk kepada terma dan syarat.
Mengulas pencapaian setahun di Malaysia, Pengarah Urusan Sime Darby Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkata, sambutan dan pencapaian yang memberangsangkan menandakan satu anjakan paradigma dalam industri automotif.
Tambah Jeffrey, kerjasama antara Sime Darby Motors Malaysia dan BYD telah mentakrifkan semula jangkaan pelanggan dengan menetapkan piawaian baharu bagi masa depan kaedah pengangkutan di Malaysia.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao menambah, BYD menghargai sambutan hebat dan minat yang ditunjukkan oleh pelanggan di pasaran Malaysia.
“Kejayaan BYD Atto 3 yang disusuli oleh tindakan pantas melancarkan BYD DOLPHIN sesungguhnya menunjukkan minat yang semakin bertambah bagi kenderaan elektrik di sini,” katanya.
Jelas Eagle, komitmen BYD bukan sahaja untuk membekalkan kenderaan terkini tetapi juga menyediakan ekosistem menyeluruh bagi pengangkutan elektrik.-UTUSAN










